Sunday, October 2, 2022

Chong: PSB tak patut tanding di kerusi PH

Secara Rawak

KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak seharusnya menuntut untuk bertanding kerusi parlimen yang dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

Pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen berkata, tuntuan yang dikemukakan oleh PSB dalam rundingan pembahagian kerusi parlimen itu dilihat tidak berasas.

Jelasnya, meskipun tidak menyatakan kerusi yang hedak ditanding, tuntutan tersebut adalah tidak wajar sekiranya PH dan PSB hendak bekerjasama pada PRU ke-15.

“Saya berpandangan sekiranya kita hendak bekerjasama, tuntutan itu adalah tidak wajar.

“Selangau yang penyandangnya dari PSB, kita tidak membuat tuntutan untuk bertanding di situ. Kita tidak bertanding di kerusi yang telah disandang,” katanya kepada media selepas penyerahan anugerah kecemerlangan pelajar SPM 2021 di Ibu Pejabat DAP, di sini hari ini.

Malah beliau berkata, tindakan PSB untuk bertanding di semua kerusi sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi oleh PH juga tidak wajar dan seolah paksaan.

“Ia bermakna anda harus menggugurkan salah seorang dari ahli parlimen anda untuk memberi laluan kepada PSB,” katanya.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Stampin dan Padungan itu berkata, perlu adanya keikhlasan antara dua pihak sekiranya hendak bekerjasama dalam pengagihan kerusi.

Jelasnya, kerusi yang dimenangi oleh penyandang harus dibenarkan untuk bertanding dan tidak bersetuju dengan tuntutan PSB tersebut.

Katanya, penyandang juga mempunyai kelebihan tersendiri untuk mempertahankan kerusi mereka pada pilihan raya.

Tambahnya, ia sekaligus meningkatkan lagi peluang untuk memenangi banyak kerusi berbanding mengagih kerusi parlimen.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak sebelum ini telah membentuk jawatankuasa untuk berunding dengan PSB termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bekerjasama pada PRU ke-15.

Jawatankuasa terdiri daripada Ahli Parlimen Lanang Alice Lau, Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling dan Bendahari DAP Sarawak Chiew Chiu Sing telah dilantik untuk rundingan tersebut.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru