Sunday, October 2, 2022

Bersatu kecewa Willie sertai PBB

Secara Rawak

KUCHING:  Kecewa.

Itu perkataan yang  paling tepat untuk menggambarkan  perasaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak.

Itu reaksi  Bersatu susulan tindakan Ahli Parlimen Puncak Borneo yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), salah satu Parti Gabungan Sarawak (GPS).

Menurut Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, kekecewaan itu timbul apabila Willie bertindak demikian ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hampir tiba.

“BERSATU Sarawak berharap tindakan Willie menyertai PBB bukan demi kepentingan peribadi beliau sendiri,” katanya melalui satu kenyataan.

“Bersatu Sarawak mengambil maklum mengenai permohonan beliau (Willie) untuk menyertai PBB telah pun diluluskan.

“Oleh yang demikian, keahlian beliau dalam BERSATU telah pun digugurkan secara automatik menurut perlembagaan parti Fasal 10, Perkara 10.2.3,” katanya lagi.

Jaziri berkata, hal berkenaan sudah disampaikan kepada Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat Majlis Tertinggi PBB semalam menerima permohonan Willie untuk menjadi ahli PBB tanpa sebarang komitmen.

“Penerimaan beliau adalah tanpa syarat. Beliau diterima sebagai ahli sahaja kerana menyokong PBB,” kata Presiden PBB Datuk Patinggi Abang johari Tun Openg semalam.

Pada Jun lalu Willie Mongin memnyatakan telah memohon untuk menyertai parti komponen PBB.

Willie berkata, permohonan itu dibuat beberapa bulan sebelumnya tetapi masih belum mendapat sebarang keputusan sama ada permohonan beliau itu diterima atau ditolak.

Katanya, beliau tidak menyertai mana-mana parti tetapi hanya diparkirkan dalam parti itu untuk menyokong kerajaan yang sedia ada.

“Saya telah mengemukakan permohonan saya untuk menyertai parti tempatan dan dengan harapan mereka akan menerima permohonan saya.

“Saya diletakkan di dalam untuk menyokong kerajaan yang mana mereka secara teknikal meletakkan saya di bawah Bersatu supaya saya boleh membawa nombor (bilangan kerusi yang mencukupi) bagi menyokong kerajaan hari ini,” katanya laporan media ketika itu.

Sementara itu, nasib Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang yang memohon menyertai Parti Rakyat Sarawak (PRS), satu lagi parti di bawah payung GPS belum lagi diketahui.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru