Thursday, August 18, 2022

Sokong pengharaman vape

Secara Rawak

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Asajaya menyokong usaha untuk mengharamkan pengunaan rokok elektronik (e-rokok) atau vape kepada individu berusia 18 tahun ke bawah.

Ketuanya Syahrizzal Arfandy Adam berkata, perkara itu penting sebagai usaha memastikan generasi akan datang dididik sepenuhnya tentang bahaya merokok termasuk penggunaan e-rokok.

SYAHRIZZAL
ARFANDY ADAM

“Tindakan undang-undang dengan kompaun yang tinggi juga boleh dikenakan sekiranya individu berusia 18 tahun ke bawah ini ditangkap melakukan kegiatan tersebut.

“Ini kerana perbuatan menghisap e-rokok ini bukan sahaja memudaratkan diri mereka sendiri tetapi juga orang di sekeliling,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, Khamis.

Dasar Generasi Penamat (GEG) menerusi penguatkuasaan Akta Produk Tembakau dan Merokok 2022 dapat membantu mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Syahrizzal memberitahu, dalam usaha menangani kegiatan menghisap rokok tidak kira dalam kalangan remaja atau dewasa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memperketatkan penguatkuasaan mereka.

“Ini termasuk tidak memberikan kelulusan kepada penjualan cecair wap untuk e-rokok kerana kandungan cecair berkenaan perlu mendapat kelulusan KKM terdahulu untuk mengelakkan kandungan nikotin atau bahan asing yang memberi kemudaratan dapat dicegah dengan berkesan.

“Paling penting, mulai tahun ini, kerajaan dan pihak swasta tidak lagi perlu menyediakan ruang merokok kerana ia sebenarnya memberikan gambaran yang tidak baik kepada institusi tersebut.

“Seolah-olah mereka bersikap tidak tegas dan masih ‘bermain tarik tali’ dalam isu larangan merokok.

Biarkan mereka mencari lokasi lain sama ada di laman rumah atau di kebun milik mereka sendiri,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memaklumkan, walaupun sebenarnya terdapat negara mengiktiraf penggunaan e-rokok sebagai gantian kepada amalan merokok, namun ia hanya sebilangan kecil.

“Contohnya United Kingdom yang berpendapat penggunaan e-rokok adalah 95 peratus kurang berisiko daripada penggunaan rokok tembakau, tetapi harus diketahui bilangan perokok termasuk e-rokok di sana rendah iaitu sekitar 5.5 peratus berbanding di Malaysia, 15 peratus daripada jumlah penduduk.

“Justeru, Malaysia boleh memulakan pengharaman rokok tembakau dan bagi e-rokok usaha ‘pembersihan’ serta pengharamannya dicadang untuk dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan syarat jangan sesekali berpatah balik daripada wawasan menjadikan negara bebas asap rokok.

“Undang-undang kepada perokok elektronik hendaklah diperketatkan dari tahun ke tahun sehinggalah tiba satu masa kita haramkan secara total penggunaan e-rokok, begitu juga rokok konvesional masa kini tanpa mengira had umur,” jelasnya lagi.

Presiden Briged Negaraku Khairul Nizam Mohd Sopery baru-baru ini memaklumkan, pelaksanaan undang-undang tersebut sepatutnya diketengahkan lebih awal kepada generasi yang lahir pada 2000 susulan rokok dan vape sudah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin membentangkan bacaan kali pertama RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Dewan Rakyat dan akan dijadual dibentangkan lagi minggu ini bagi menyelesaikan isu ketagihan produk nikotin tersebut.

RUU tersebut juga memperuntukkan larangan individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru