Thursday, August 18, 2022

Program Funride kukuhkan perpaduan penjawat awam

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 150 orang terdiri daripada penjawat awam menyertai Program Funride sepanjang 8.6 kilometer sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) di Padang Merdeka, di sini, hari ini.

Kayuhan Funride anjuran Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) dan bantuan dari agensi-agensi lain ini turut disertai 30 orang yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Persekutuan dan 30 individu dari Setiausaha Kerajaan Negeri.

Program kayuhan ini merupakan salah satu pengisian yang diadakan bagi mengukuhkan lagi perpaduan, khususnya dalam kalangan penjawat awam di Malaysia.

Aktiviti yang bermula jam 7 pagi itu dimulakan dengan beberapa taklimat ringkas dan senaman ringan sebelum memulakan acara utama (berbasikal).

Tepat 7.15 pagi, semua peserta diketuai Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki berlepas menuju ke perhentian pertama iaitu di Kompleks Sukan Satok.

Di lokasi tersebut, satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilaksanakan kepada penduduk di kawasan tersebut dengan mengagihkan bakul makanan kepada mereka yang terpilih.

Seterusnya, aktiviti berbasikal diteruskan sehingga ke perhentian kedua iaitu di Tebingan Kuching, sekali gus menjalankan program Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) Care di Square Tower.

Sumbangan disampaikan kepada pengusaha perahu tambang dan kemudiannya melekat satu pelekat ‘Keluarga Malaysia’ di perahu tambang tersebut.

Acara kayuhan tersebut tamat dengan pergerakan peserta menuju ke Padang Merdeka untuk berkumpul semula sebelum menikmati jamuan di Heritage Central Cafe.

Sementara, Adun Satok Datuk Ibrahim Baki turut hadir untuk melakukan sesi Flag Off (berlepas) bagi acara kayuhan tersebut.

Hadir sama Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan lain-lain.

Dua kiri: Mohamad Abu Bakar; Mohd Zuki; Fadillah dan Ibrahim memegang bendera Malaysia bersama-sama yang lain sebelum berlepas

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru