Sunday, August 14, 2022

PM dengar rintihan penghantar, pemandu e-hailing

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sekretariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi perhatian terhadap kebajikan rider penghantar dan pemandu e-hailing dengan mendengar rintihan dan keluhan mereka yang diwakili oleh En. Khaizulnizam (Setiausaha Politik).

Pengerusinya, Fairuz Jamaludin memaklumkan bahawa Pemuda UMNO telah mengadakan Persidangan Meja Bulat Tuntutan Hak Penghantar Malaysia pada 20 September 2021.

“Persidangan tersebut telah di pengerusikan oleh Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Ketua Pemuda UMNO Malaysia) dan dihadiri oleh Penghantar, MTUC, perwakilan e-hailing dan perwakilan p-hailing dari seluruh Malaysia.

“Hasil daripada Persidangan tersebut, perwakilan telah bersepakat untuk mengutarakan lima Resolusi yang menjadi asas kepada perjuangan menuntut hak penghantar.

“Setakat hari ini, hanya 2 Resolusi yang belum dicapai dan dilaksana iaitu Resolusi 1 dan Resolusi 2,” katanya dalam hantaran melalui Facebooknya.

Maklumnya, dalam sesi libaturus bersama Pejabat Perdana Menteri pada petang semalam membuahkan hasil apabila En. Khaizulnizam telah menetapkan 8 Ogos 2022 (Isnin) untuk diadakan Sesi Penerangan dan Perbincangan dengan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong (Menteri Pengangkutan).

“Pertemuan dengan Menteri Pengangkutan adalah untuk membincangkan mengenai Resolusi 2 iaitu untuk Mewujudkan Peraturan Dan Sebuah Badan Kawal Selia Yang Mengkaji Keperluan Regulasi Adil dan Realistik Untuk Penyedia Perkhidmatan dan Penghantar.”

Berikut ialah lima Resolusi dituntut:

RESOLUSI 1 – Mencadangkan Status Individu Terbabit Industri E-Hailing & P-Hailing Diiktiraf Sebagai Pekerja Dan Dilindungi Oleh Akta Kerja 1955 & Akta Berkaitan.

RESOLUSI 2 – Mewujudkan Peraturan Dan Sebuah Badan Kawal Selia Yang Mengkaji Keperluan Regulasi Adil Dan Realistik Untuk Penyedia Perkhidmatan Dan Penghantar.

RESOLUSI 3 – Memastikan Kaedah Terbaik Untuk Penyedia Perkhidmatan Menyediakan Perlindungan Sosial (KWSP & PERKESO) Terhadap Penghantar.

RESOLUSI 4 – Mencadangkan Kerajaan Memberi Bantuan Berkesan Dan Efektif Kepada Penghantar Dalam Bajet 2022.

RESOLUSI 5 – Mendesak Penyedia Perkhidmatan Menjamin Pekerjaan Penghantar Dengan Menangguhkan Penggantungan Dan Penamatan Khidmat Penghantar Pada Masa Terdesak Ini.

Jelas Fairuz, menerusi Resolusi 2 diharapkan dapat menyelesaikan beberapa masalah yang diutarakan semasa Persidangan Meja Bulat Tuntutan Hak Penghantar iaitu:

  1. Skema bayaran yang sentiasa berubah dan menjejaskan pendapatan penghantar.
  2. Prosedur penetapan KPI yang merugikan penghantar.
  3. Jarak di aplikasi penyedia perkhidmatan berbeza dengan jarak sebenar.
  4. Kekeliruan isu Halal dan Non-halal.
  5. Jadual kerja yang tidak fleksibel walaupun bekerja separuh masa.
  6. Tiada insurans yang khusus untuk risiko pelbagai kemalangan atas jalanraya.
  7. Penggantungan dan penamatan khidmat pekerja secara tidak adil tanpa perbincangan.

“Sekretariat Pekerja Muda PPUM amat berharap agar Kerajaan mempercepatkan proses untuk mewujudkan peraturan dan badan kawal selia. Badan ini bertanggungjawab mencari jalan tengah untuk menyelesaikan isu pekerja, vendor dan penyedia perkhidmatan,” katanya lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru