Sunday, August 7, 2022

Perluas perkongsian kerjasama

Secara Rawak

MUKAH: Politeknik Mukah (PMU) memperluaskan perkongsian kerjasama selepas menandatangani perjanjian kolaborasi strategik dengan enam syarikat dan agensi di Bilik Seminar Unit Latihan dan Pendidikan Lanjutan (ULPL), Politeknik Mukah baru-baru ini.

Pengarah PMU Dr. Zamzam Mohd Walid berkata, ia merupakan usaha strategik pihaknya selaras dengan teras strategik kelima Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia iaitu memperkukuh kolaborasi industri dan komuniti seterusnya memanfaatkan perkongsian pintar yang dijalin demi faedah pihak terlibat.

“Kolaborasi strategik ini adalah kesinambungan hubungan dan kerjasama yang berjalan sekian lama sebelum ini antara kesemua pihak menerusi aktiviti bersifat ilmiah yang pernah dijalankan selama ini.

“Keputusan memeterai hubungan secara formal ini adalah usaha meningkatkan hubungan kerjasama dengan pihak industri dan agensi yang berpotensi menjadikan politeknik sebagai institusi yang bukan sahaja mampu melahirkan siswazah ada kebolehpasaran di Malaysia.

“Bahkan dapat menyediakan latihan kepada pensyarah dan pelajar di samping mewujudkan penempatan yang sesuai untuk pelajar menjalani latihan industri,” tambahnya.

Jelasnya lagi, dengan pemeteraian perjanjian kerjasama dengan industri diharapkan dapat mencapai objektif yang digariskan iaitu perkongsian kepakaran tenaga penyelidikan, inovasi dan latihan antara Politeknik Mukah dan syarikat terlibat.

“Antara lain menyediakan latihan dan pengalaman kepada pelajar di dunia pekerjaan sebenar serta menambah baik proses kerja dan pemantapan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bidang yang berkaitan.

“Melaksana dasar hubungan dua hala dengan industri melalui memorandum persefahaman, nota kerjasama, dialog, platform khidmat rundingan, nasihat latihan kerjasama dalam bidang pendidikan.

“Seterusnya melaksana aktiviti promosi dan perhubungan awam bagi meningkatkan persepsi serta akses dan ekuiti masyarakat kepada pendidikan dan latihan teknikal melalui khidmat rundingan nasihat penyebaran maklumat peluang latihan atau pendidikan dan memberi perkhidmatan atau melaksanakan program kemasyarakatan yang menyumbang ke arah pembangunan modal insan,” jelasnya lagi.

Penyelia Pusat Inovasi dan Transformasi Belia Mukah (MYTIC) Muhammad Termizi Karnain Abdah, Pengarah Urusan Syarikat Gugusan Duta Sdn Bhd Wan Abdullah Wan Mohammaden, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Binaan Malaysia (Sarawak) Abdul Rahman Ahmad, Pengarah Syarikat Gios Sdn Bhd Alhadi Mat, dan Timbalan Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak Paul Bond Chamberlin mewakili pihak industri.

Timbalan Pengarah Akademik Iskandar Reduan dan Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) Awang Annuar Awang Mansor turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru