Thursday, August 18, 2022

Pembangkang gusar terhadap pelantikan Tengku Zafrul

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpandangan lontaran serta pelbagai kritikan terhadap pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor sebagai mereka yang kekurangan modal.

Menurut beliau langkah berkenaan perlu dilihat dari pelbagai sudut terutama pilihan beliau yang menjadikan UMNO/BN sebagai wadah politik khususnya dalam usaha membantu BN Selangor.

“Pelantikan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor yang baharu mencipta minat di kalangan pengundi muda dan rakyat di Selangor. Sebagai seorang tokoh perbankan yang diberikan ruang untuk berkhidmat sebagai Menteri Kewangan maka pelantikan beliau pantas mencetuskan minat di media sosial.

“Ironinya, terdapat anggota parti politik tertentu yang berlebihan dan melampau dalam memberikan komentar dan pandangan. Ada yang kekurangan modal sehingga mengaitkan persoalan ‘adab’ dan ‘budi’.

“Barangkali, kerana adab dan budilah, Zafrul memilih UMNO dan BN. Parti dan pentadbiran yang telah melorongkan beliau di tampuk dunia korporat selama ini. Naif benar pandangan dan perspektif politik; jika gagal melihat betapa akrabnya Zafrul dengan UMNO dan BN selama ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook.

Kata Reezal lagi, agak janggal sebenarnya melihat kumpulan yang melontarkan pelbagai tuduhan dan perspektif negatif kepada Zafrul yang kononnya merekalah ‘demokratik’ dan punya pandangan politik yang maju dan liberal.

Katanya sebagai seorang tokoh perbankan berjaya, piawaian dan nilaian politik Zafrul pastinya lebih kukuh serta berasaskan fakta dan jika asas, akar keyakinan beliau bersama UMNO dan BN siapa sahaja yang mampu menidakkannya?

“Zafrul pastinya yakin bahawa inilah ruang dan peluangnya memberikan “khidmat” lebih baik kepada negara dan bangsa. Bukan platform dan medan politik yang lain.

“Adat sepanjang jalan; cupak sepanjang betung,  penampilan wajah dan tenaga profesional seperti Zafrul akan mengukuh dan memperkuat UMNO dan BN. Inilah yang merisaukan dan mewujudkan resah khuatir di kalangan kelompok tertentu,” ujarnya. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru