Thursday, August 18, 2022

Pelan sistematik pekerja Indonesia

Secara Rawak

KUCHING: Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching sedang merangka satu sistem yang sistematik dan maju dalam pengambilan serta penempatan pekerja rakyatnya di negeri ini.

Konsul Jenderalnya Raden Sigit Witjaksono berkata, sistem bersepadu tersebut bagi memantau rakyatnya yang bekerja di Sarawak dari arus utama sehingga ke hiliran khususnya berkaitan dokumentasi.

“Salah satu cabaran yang dihadapi di sini adalah kita mempunyai ramai warga Indonesia yang mempunyai masalah berkaitan dokumen.

“Ada antara mereka langsung tidak mempunyai dokumen, dan jika ada pun ia sudah tamat tempoh.

“Jadi sukar bagi kami untuk menguruskan mereka apabila berlaku kejadian tidak dijangka seperti kemalangan kerana apabila perlu menyemak data, tetapi tiada rekod data mereka,” katanya dalam temu bual khas bersama Suara Sarawak, Khamis.

Menurutnya, usaha itu adalah bagi memastikan setiap warga Indonesia yang masuk ke Sarawak, bukan sahaja pekerja tetapi juga pelancong dan pelajar mempunyai dokumentasi yang betul.

“Tanpa dokumentasi, ia bukan sahaja menyukarkan individu yang terlibat tetapi juga majikan mereka, agensi berkaitan seperti polis, imigresen dan kami di pihak konsulat untuk menguruskan mereka.

“Dokumen ini amat penting khususnya apabila menguruskan penghantaran mereka pulang ke Indonesia.

“Setakat ini, pihak kami ada mengeluarkan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) iaitu pas khas sekali sahaja untuk rakyat kita pulang ke Indonesia tanpa sebarang masalah,” jelasnya.

Terdahulu, Raden menerima kunjungan hormat daripada New Sarawak Tribune dan Suara Sarawak yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Jeniri Amir bersama-sama Editor Eksekutif Suara Sarawak Rohana Wahed, Editor Pengurusan New Sarawak Tribune Aden Nagrace dan Eksekutif Pembangunan Perniagaan Dorge Rajah.

Semasa kunjungan hormat itu, Raden turut berkongsi mengenai rancangan, pelan dan kemajuan pembangunan ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru