Tuesday, August 16, 2022

Pekerja mahir sektor minyak dan gas diperlukan

Secara Rawak

KUCHING: Permintaan terhadap pekerja mahir dalam industri minyak dan gas amat diperlukan pada masa kini, kata Ketua Pegawai Eksekutif SRC Global Resources Sdn Bhd, Nor Hisham Mohd Arifin.

“Begitu juga dengan permintaan tenaga kerja bagi Kemahiran Penyediaan Perancah (Scaffolding) di beberapa tempat seperti di Johor, Melaka, Terengganu dan Kelantan.

“Walaupun terdapat kekangan semasa Perintah Pergerakan Kawalan (PKP), namun industri kilang melonjak semula apabila operasi pemprosesan minyak dan gas bergiat semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Graduasi Kumpulan 1 2022, Program Scaffolding Industri Minyak & Gas di Auditorium Yayasan Sarawak, di sini, kelmarin.

Oleh itu katanya, beberapa usaha dilakukan untuk mengadakan latihan kepada belia di Sarawak, di samping memberi peluang pekerjaan kepada pelajar demi masa depan mereka.

“Hari ini (semalam), seramai 30 orang pelajar berjaya menamatkan latihan kursus anjuran SRC Global Resources.

“Bukan itu sahaja, mereka juga ditawarkan untuk bekerja di syarikat Omniwise International selepas tamat menjalani kursus tersebut,” katanya.

Tambahnya lagi, baru-baru ini Samsung Engineering juga berjaya mendapatkan kontrak membina loji Shell.

“Ini pasti memerlukan ramai pekerja yang mahir dalam industri minyak dan gas, sekali gus memberi peluang kepada siswazah dalam bidang tersebut,” katanya.

Sementara, Pengurus Besar Korporat SRC Global Resources Mohamad Yusri Hamden berkata, SRC melatih dan berjaya menghasilkan pekerja yang kompeten terutamanya dalam industri minyak dan gas.

“Ramai yang berjaya dan semua ini mustahil tanpa sokongan dan juga bantuan daripada Yayasan Sarawak dalam membantu mereka dari keluarga yang kurang mampu.

Justeru katanya, pelajar perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan dan berharap agar Yayasan Sarawak terus membantu para belia.

Hadir sama Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli dan tetamu kehormat yang lain.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru