Friday, August 19, 2022

Hargai pengorbanan barisan hadapan

Secara Rawak

BINTULU: Tanpa petugas barisan hadapan, sudah pasti sukar untuk menghentikan penularan wabak Covid-19 sehingga berjaya memasuki ke fasa peralihan ke endemik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata, petugas barisan hadapan merupakan asas utama yang mendasari kejayaan Kerajaan Malaysia membendung penularan wabak tersebut.

“Petugas barisan hadapan bukan sahaja sanggup berkorban masa demi memikul tanggungjawab yang diberi, malah komited melaksanakan tugas dalam memastikan keselamatan dan kesihatan komuniti serta warga pelabuhan terjaga sejak awal negara dilanda pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Penghargaan Bersama-sama Petugas Barisan Hadapan Syarikat dan Pelbagai Agensi di Bahagian Bintulu di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.

Mohammad Medan memaklumkan bahawa sepanjang pandemik, Syarikat Kumpulan BPHB tidak ketinggalan menunaikan program tanggungjawab sosial korporatnya kepada agensi yang memerlukan bantuan dari segi peralatan dan keperluan dalam memastikan kelancaran tugas semasa penularan Covid-19.

Jelasnya, syarikat itu turut bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menjadikan Dewan Serba Guna Taman Sri Pelabuhan sebagai salah satu Pusat Kawalan dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Bahagian Bintulu di samping meneruskan program tanggungjawab sosial korporat seperti sumbangan bakul makanan kepada masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pada majlis itu, Mohammad Medan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada pelbagai agensi sebagai tanda terima kasih atas sumbangan serta jasa petugas barisan hadapan pihak terlibat dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Dalam masa yang sama, beliau berharap perhubungan erat antara agensi berkaitan terutama syarikat Kumpulan BPHB dapat dikekalkan demi menjaga keselamatan dan keamanan komuniti di Bahagian Bintulu dalam menangani wabak tersebut.

Residen Bahagian Bintulu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu Datuk Jack Aman Luat turut hadir.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru