Thursday, August 18, 2022

1,690 katon rokok tidak bercukai bernilai RM252,432 dirampas

Secara Rawak

KUCHING: Sebanyak 32 kotak mengandungi 1,690 katon rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai dirampas dalam satu serbuan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM252,432.

Katanya, serbuan dilakukan oleh sepasukan Cawangan Risikan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak kira-kira jam 9.10 pagi di Jalan Setia Raja, di sini.

“Dalam operasi ini, turut ditangkap seorang lelaki tempatan dalam lingkungan umur 47 tahun.

“Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching untuk tujuan permohonan reman pada 6 Ogos 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Kesalahan boleh diperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai barangan atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya lagi, operasi ini akan berterusan dijalankan dari masa ke semasa bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru