Thursday, August 18, 2022

Wujudkan mekanisme pantau fenomena ruang angkasa

Secara Rawak

KUCHING: Agensi yang bertanggungjawab memantau aktiviti dan fenomena di ruang angkasa negara digesa untuk mewujudkan mekanisme tertentu dalam mendapatkan maklumat awal tentang apa sahaja kemalangan yang berlaku di ruang angkasa.

Gesaan itu disuarakan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni susulan kejadian serpihan roket yang terjatuh di beberapa kawasan di negeri ini baru-baru ini.

Hazland berkata, usaha ini penting agar maklumat awal boleh diperolehi seterusnya disebarkan segera kepada orang ramai di seluruh negara melalui pelbagai media terutama media sosial.

“Ini juga membolehkan mereka (orang awam) bersedia melakukan sesuatu untuk berada di kawasan yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun kejadian itu tidak dapat dielakkan atau sukar dikawal tambahnya, usaha perlu dilakukan supaya ia tidak menimbulkan keresahan penduduk serta tidak mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda.

“Ramai penduduk yang berasa teruja dan bertuah apabila menyaksikan cahaya kesan daripada serpihan itu kerana menjangka ia adalah meteor, namun ramai pula yang khuatir dan bimbang jika kejadian itu boleh menimbulkan bencana besar terhadap alam sekitar dan keselamatan awam

“Keresahan di kalangan penduduk terutama di Sarawak timbul kerana mereka tidak mendapat maklumat awal tentang kejadian berkenaan,” ujarnya.

Hazland yang juga Adun Demak Laut dalam masa yang sama bersyukur kerana kejadian serpihan roket Long March 5B milik China yang dilaporkan melintasi ruang udara negeri ini malam tengah malam Ahad lalu tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

Terdahulu, terdapat serpihan roket berkenaan terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakan serpihan yang terbakar berkenaan turut melintasi ruang udara Malaysia serta dapat dikesan di beberapa kawasan termasuk melintasi ruang udara sekitar Sarawak.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, serpihan itu adalah sebahagian daripada roket milik China yang dilancarkan pada Ahad lalu dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di Wenchang, selatan China.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru