Thursday, August 18, 2022

Tiada pemimpin anai-anai

Secara Rawak

LIMBANG: Kerajaan Sarawak tidak mahu terdapat pemimpin yang mempunyai sifat anai-anai dalam pentadbirannya kerana ia boleh memberikan kesan buruk terhadap pemerintahan negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sifat tersebut penting untuk dihindari dalam usaha membangunkan negeri ini bagi memastikan Sarawak kekal cantik luar dan dalam.

“Seperti surau lama ini – Surau Darul Ehsan, Limbang – ia nampak cantik dari luaran, tetapi di bahagian dalam rosak kerana dimakan anai-anai.

Situasi ini berbahaya kerana boleh meruntuhkan bangunan.

“Begitulah juga dengan Sarawak, kita mesti mempunyai negeri baik dari luaran dan dalaman.

Jangan ada anai-anai di dalam negeri kita.

Sebab mempunyai mereka yang bersifat anai-anai memberikan kesan buruk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya di Limbang, kelmarin.

Bagaimanapun, beliau berkata pentadbiran Kerajaan Sarawak tidak mempunyai pemimpin yang bersifat anaianai kerana setiap mereka dilatih menjadi pemimpin yang berkualiti tinggi sejak peringkat awal lagi.

“Sebab itu Sarawak tidak mempunyai masalah dalam mentadbir kerana menjadikan Piagam Madinah sebagai teras pemerintahan, membangunkan negeri serta menjaga rakyat berbilang kaum dan agama.

“Ia sudah diamalkan sejak pemimpin terdahulu. Malah saya mendapat keyakinan untuk mentadbir daripada rakyat kita yang memberikan kepercayaan tinggi sekali gus menjadi obor pembakar semangat untuk terus membangunkan Sarawak,” ujarnya.

Abang Johari memberitahu Kerajaan Sarawak menerusi Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) turut menawarkan Biasiswa Ibnu Khaldun untuk anak-anak beragama Islam melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia.

“Ia bagi membiayai anak Sarawak belajar di peringkat Sarjana mahupun PhD urusan tertentu khususnya ekonomi dunia baharu supaya dapat melahirkan pemimpin yang berwibawa dan berpengaruh dari sudut pendidikan Islam bertaraf dunia,” jelasnya.

Tegasnya, usaha tersebut diperhebatkan lagi penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak yang bakal dibentangkan di persidangan Dun November depan bagi menyimpan lebihan pendapatan negeri untuk manfaat generasi akan datang.

TERIMA KASIH… Abang Johari menerima cenderamata selepas merasmikan Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Rayadi Limbang, semalam. Foto UKAS

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru