Sunday, August 7, 2022

Pastikan pili bomba berfungsi dengan baik

Secara Rawak

SARIKEI: Kerjasama masyarakat penting bagi memastikan pili bomba yang diletakkan di kawasan strategik sekitar daerah ini dapat berfungsi dengan baik.

Malah peralatan itu perlu dipantau dari masa ke semasa bagi membolehkannya digunakan pada bila-bila masa terutama ketika berlaku kecemasan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, pili yang berfungsi dengan baik memudahkan agensi itu melakukan operasi penyelamatan khususnya jika berlaku kebakaran.

“Hasil pemeriksaan, kita mendapati lebih 500 pili bomba di bawah jagaan Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei berfungsi dengan baik,” katanya ketika dihubungi.

Mahmudin berkata, kerosakan yang biasa berlaku termasuklah penutup pili dan ‘chamber’ hilang atau patah sama ada dilanggar kenderaan atau aktiviti jenayah.

Sehubungan itu Bomba sentiasa mengalukan penyertaan orang ramai yang berminat untuk menjadi Teman Pili Bomba (TPB).

TPB katanya, bukan sahaja berperanan sebagai mata dan telinga Bomba tetapi juga mampu mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan menyelamatkan nyawa orang lain.

“Keahlian terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan borang pendaftaran boleh didapati di semua balai berhampiran,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru