Thursday, August 18, 2022

Fokus pendapatan dengan penanaman cili

Secara Rawak

KUCHING: Selain program gotong-royong di sekeliling halaman Kampung Temelan Dayak, Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) membersihkan ladang mini fertigasi tanaman cili di tanah milik Galau Nyaleh.

Program itu melibatkan sebanyak 50 peserta yang terdiri daripada masyarakat setempat dan juga AJK Perais.

Menurut Presiden Perais, Rapelson Richard Hamit, penanaman cili secara fertigasi itu diusahakan Perais sejak November 2021 kini membuahkan hasil.

“Hasil penanamannya bukan sahaja telah memanfaatkan persatuan, malah masyarakat setempat turut menerima manfaatnya.

“Masyarakat setempat dapat memperoleh pendapatan dan pekerjaan sampingan setiap kali tuaian cili,” kata Rapelson.

AJK dan masyarakat melakukan penyemaian cili

Selain itu, projek berkenaan diselia oleh Jackie Galau sejak awal November 2021 selama dua tahun bagi memantau, menjaga dan mengurus tadbir penanaman dan penjagaan cili berkenaan.

Beliau berkata, hasil tuaian cili akan dijual dan diedarkan ke pasar raya tempatan setiap minggu bagi memenuhi pasaran tempatan.

Dalam pada itu, Rapelson berhasrat untuk mengembangkan usaha berkenaan untuk membantu menjana pendapatan persatuan dan masyarakat setempat.

“Tambahnya, pelbagai aktiviti pertanian dan penternakan dirancang dan akan dilaksanakan bermula dari kawasan Lundu (tanaman fertigasi) dan di kawasan lain mengikut kemampuan persatuan dan ahli-ahlinya.

Justeru, Persatuan Perais bekerjasama dengan pihak HFE Agro Resources Sdn. Bhd. pada peringkat permulaan dari segi latihan, penjagaan dan dalam membekalkan set fertigasi kepada persatuan.

Program gotong-royong berkenaan turut dihadiri Ketua Kaum Kampung Temelan Dayak, Linggoh Nyaleh, pemilik tanah, Galau Nyaleh, penyelia projek, Jackie Galau, penduduk kampung dan juga AJK Perais.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru