Thursday, August 18, 2022

358 terlibat dadah dijaring polis di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Seramai 358 individu dipercayai terlibat penyalahgunaan dadah ditahan hasil ‘Op Tapis Khas’ yang dijalankan secara mengejut di seluruh Sarawak selama tiga hari pada 27 hingga 29 Julai lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, 352 orang tahanan merupakan warga tempatan termasuk empat tokan dadah manakala enam daripadanya merupakan warga asing masing-masing berusia lingkungan 17 hingga 59 tahun.

Makanala dari segi pecahan jantina katanya, tangkapan meliputi 330 orang lelaki dan 28 orang perempuan.

“Daripada jumlah tersebut, empat tokan dadah terdiri daripada lelaki warga tempatan berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun turut ditangkap dan disiasat dibawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Dalam operasi ini polis telah merampas dadah bernilai RM69,618.50 merangkumi 131.47 gram dadah jenis syabu (Methamphetamine), 34 pokok ganja, 1.85 gram ganja (kanabis), dan 1.5 liter air ketum.

“Sibu menjadi daerah rampasan dadah tertinggi bernilai RM56,420.00, diikuti daerah Kuching bernilai RM4,970.50 dan Miri berjumlah RM4,576 diikuti lain-lain daerah,” katanya dalam sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Kontinjen Polis Sarawak, di sini, pada Khamis.

Tambahnya, polis turut menyita harta berkaitan kes bernilai RM120,000 iaitu sebuah kereta di Sibu dan sebuah kereta di Bintulu.

Menurut Azman, kesemua tangkapan dan rampasan hasil pengoperasian sebanyak 158 serbuan dan pemeriksaan telah dijalankan merangkumi dua sekatan jalan raya di stesen timbang Jabatan Pengangkutan jalan (JPJ) di Sibu dan Serian dan 155 serbuan dan pemeriksaan di pelbagai lokasi disyaki digunakan untuk penyalahgunaan dadah.

“Pemeriksaan di pelbagai tempat seperti kawasan perumahan, kawasan pinggir hutan, kebun dan lain-lain tempat yang digunakan untuk aktiviti penyalahgunaan dadah di seluruh Sarawak telah menghasilkan sebanyak 343 tangkapan,” katanya.

Dedahnya, sebanyak 309 kertas siasatan telah dibuka dalam tempoh operasi tersebut yang mana 23 bersamaan 7 peratus daripadanya telah dituduh di mahkamah manakala bakinya masih dalam siasatan.

Antara seksyen kesalahan yang dikesan adalah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 seramai lima orang, dua orang dibawah Seksyen 39A(2) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952 seramai 16 orang, Seksyen 12(2) ADB 1952-83 orang, seorang dibawah Seksyen 6 ADB 1952, Seksyen 30(3)AR 1952- enam orang, Seksyen 15(1)(a) 1952-238 orang, Seksyen 3(1) ADB (LLPK) 1985-empat orang dan Seksyen 3(1) APD (Rawatan dan Pemulihan)1983- tiga orang disiasat oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan)

Op Tapis Khas diterajui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan dibantu oleh lain-lain jabatan dalam PDRM, agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam pada itu, ujarnya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak telah merekodkan sebanyak 5,491 orang tangkapan, rampasan dadah pelbagai jenis bernilai RM9,083,726.50 dan menyita harta bernilai RM1,914,003.07 dalam tempoh 1 Januari sehingga 31 Julai 2022.

Turut hadir majlis, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah dan timbalannya, Deputi Superintendan Wong Leong Meng.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru