Thursday, August 18, 2022

Abang Johari: Seberang Limbang akan dibangunkan

Secara Rawak

LIMBANG: Kerajaan Sarawak akan meneruskan pembangunan Bahagian Limbang menerusi pelan induk jangka panjang, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, program pembangunan yang turut melibatkan kawasan seberang Limbang itu akan dilaksanakan sebaik sahaja pembinaan Jambatan Kedua Sungai Limbang siap.

“Memang terdapat cadangan, jika jambatan tersebut sudah siap. Kita akan mewujudkan satu pelan induk baharu untuk Limbang termasuk di kawasan seberang.

“Ini adalah satu pelan jangka panjang dan saya yakin dengan adanya jalan yang dibangunkan oleh Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA), sudah tentu Limbang dan Lawas dapat dihubungkan dengan baik termasuk sehingga ke Gunung Buda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Surau Darul Ehsan Tun Abang Haji Openg Kampung Bunga Raya di Limbang pada Rabu.

Menurutnya, idea itu adalah bagi menyediakan lebih banyak pembangunan infrastruktur termasuk membangunkan kawasan tebingan sungai bagi melengkapkan projek jambatan Limbang kedua, serta membangunkan kawasan di seberang Limbang memandangkan adanya kesalinghubungan yang lebih baik.

Projek jambatan bernilai RM187 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak itu dijadualkan siap pada April 2023 selepas mengalami kelewatan sejak tahun 2017.

Projek tersebut amat diperlukan rakyat tempatan sebagai penghubung utama penduduk di seberang Sungai Limbang sekali gus membuka kawasan serta jalan baharu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru