Thursday, August 18, 2022

Utamakan ekonomi, pendidikan

Secara Rawak

SARIKEI : Pertubuhan Kebajikan Ukhuwwah Sarawak (Ukhuwwah) melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkasakan peranannya selain menjaga kebajikan ahli dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi dan pendidikan.

Presidennya Mohamad Irwan Shah Thomas Abdullah berkata, antara yang sedang dilaksanakan termasuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dan mewujudkan kaunselor pendidikan.

Tidak sekadar itu katanya, pertubuhan berkenaan juga mempunyai pakej khusus untuk setiap ahli yang berdaftar.“Pertubuhan ini dianggotai oleh ahli daripada pelbagai latar belakang dan agama.

“Ukhuwah bermaksud persaudaraan dalam satu keluarga besar. “Justeru melalui pertubuhan ini, kami bersatu menggerakkan peranan untuk membantu sesama ahli,” katanya.Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penangguhan Jelajah Komuniti Hikmah 2022, Siri Satu Zon Tengah di Pusat Inovasi Sarikei (SIC), semalam.

Program itu ujarnya, merupakan kesinambungan penganjurannya pada 16 Julai lalu selepas termerainya MoU dengan IPT seperti Universiti Alzette Paris, Kolej Universiti Saito, Kolej ASA dan Enyuvesi Business Management.

“Kami membentuk satu kerjasama untuk mengajak komuniti bekerjasama dengan institusi kerana biasanya, universiti atau kolej mempunyai ejen pemasarannya sendiri. “Namun melalui program ini, ahli persatuan boleh memanfaatkan pakej istimewa yang disediakan itu.

Ini kerana melalui pertubuhan, kita ada Pakej Ukhuwwah Saito, Pakej Ukhuwwah ASA dan sebagainya.“Secara tidak langsung ia memberi pendedahan kepada komuniti terhadap peranan ukhwah dan bagaimana pertubuhan kami memberi pendidikan kepada komuniti dengan kerjasama pihak universiti,” katanya.

Pada masa yang sama katanya, kaunselor pendidikan pula akan berperanan untuk mendekati masyarakat dan menerangkan kepada mereka manfaat yang diperoleh apabila menjadi ahli persatuan itu.

Beliau menjelaskan, dalam aspek pendidikan, pihaknya bukan sekadar menarik penyertaan pelajar tetapi turut memberi fokus terhadap kebajikan mereka.“Kami akan menjaga kebajikan anak-anak ini nanti di universiti yang berkenaan. “Syaratnya dia mesti menjadi ahli Ukhuwwah ataupun anak kepada ahli pertubuhan kami.

“Sebab itulah, kami sudah ada di Semenanjung Malaysia atas nama Kelab Ukhuwwah Malaya. “Melalui jalinan kerjasama dengan universiti berkenaan, kami juga merancang untuk mengadakan pelbagai program tambahan yang akan memberi lebih banyak manfaat kepada ahli.

“Antaranya, kami mempunyai biasiswa penuh melalui Pakej Ukhuwwah Saito untuk program kursus asas,” jelasnya. Pertubuhan Ukhuwwah Sarawak kini dianggotai lebih 1,000 ahli dari Samarahan, Serian, Sarikei, Mukah dan Long Lama.

Pertubuhan itu melebarkan sayapnya melalui penubuhan cawangan Kelab Ukhuwwah Malaya untuk kemudahan ahlinya di Semenanjung Malaysia baru-baru ini. Penyertaan ahli pertubuhan itu kini terbuka dan orang ramai yang berminat boleh menghubungi Ketua Penerangan Ukhuwwah Sarawak menerusi talian 011-35223179.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru