Thursday, August 18, 2022

Potensi besar pemain Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Jacob Joseph memberitahu, terdapat beberapa pemain berbakat yang dikenal pasti pada Kejohanan Bola Sepak Liga Wanita Nasional (LWN) Zon Sarawak 2022.

Sekali gus, pemain berbakat itu kelak akan dipanggil untuk menyertai kem latihan bersama skuad negara.

“Ada beberapa pemain muda yang saya lihat berbakat pada kejohanan ini. Kita akan beri peluang kepada pemain itu untuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan.

“Jika mereka dapat mengekal prestasi hebat semasa latihan kelak, tiada masalah untuk saya menyerap pemain terbabit bagi menyarung jersi skuad negara,” ujar Jacob ketika ditemui Arena Suara Sarawak.

Katanya, inilah masa bagi pemain dari Sarawak membuktikan kemampuan sebenar mereka sekali gus menempa nama bersama skuad negara.

Katanya, fokus utama pemilihan pemain ketika ini lebih terarah kepada mereka yang berumur bawah 19 tahun.

Ia penting sebagai persiapan membentuk pasukan negara yang benar-benar mantap.

Dengan kata lain, dapat memberi ruang secukupnya kepada beliau untuk membentuk pasukan dengan barisan pemain muda berkenaan.

Menurut Jacob, beliau berkesempatan memantau kelibat pemain yang dari enam pasukan yang bertanding dalam LWN Zon Sarawak 2022 yang berlangsung dari 27 hingga 31 Julai lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais juga berharap ada pemain dari Sarawak yang akan menyarung jersi pasukan kebangsaan selepas ini.

“Amat tepat sekali dengan penganjuran LWN Zon Sarawak 2022 yang secara tidak langsung dapat mengenal pasti pemain berbakat dari negeri ini untuk mewakili skuad kebangsaan kelak,” tegas Posa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru