Thursday, August 18, 2022

Wanita rugi RM64,800 akibat perbuatan khianat bekas suami

Secara Rawak

LYDIA AMAN

KUCHING: Seorang wanita berputih mata apabila mengalami kerugian RM64,800 akibat perbuatan khianat bekas suaminya merosakkan harta benda miliknya.

Mahkamah Majistret di sini, hari ini, melepas dan membebaskan tertuduh
Zulkarnaen, 48, atas tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, dia didakwa merosakkan siling kereta hingga menyebabkan kerugian RM12,000. Manakala, pertuduhan kedua dia didakwa merosakkan lampu rumah dengan jumlah kerugian RM2,400.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa merosakkan 24 unit palam suis dan kabinet dapur dengan jumlah kerugian RM10,000 dan RM15,000.

Selain itu, pertuduhan kelima hingga ketujuh, dia didakwa melakukan khianat merosakkan enam unit lampu dapur (kerugian RM2,400), siling dapur(kerugian RM8,000), dan meter elektrik (kerugian RM15,000).

Kesemua harta benda tersebut merupakan milik bekas isteri tertuduh yang berusia 37 tahun.

Tertuduh yang merupakan ahli perniagaan itu didakwa melakukan perbuatan di sebuah rumah beralamatkan Taman Alam Sari, Bandar Baru Semariang, di sini, sekitar jam 3.30 petang, 16 Disember 2020.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu yang telah bercerai dengan suaminya (tertuduh) sejak 14 Disember 2020 telah pergi rumahnya untuk memeriksa keadaan rumah.

Sebaik sahaja tiba di rumah, pengadu mendapati rumah dalam keadaan berkunci dan tombol pintu serta mangga pintu hadapan rumah telah ditukar.

Pengadu terpaksa menceroboh masuk ke rumahnya sendiri untuk masuk ke dalam rumah.

Selepas berjaya masuk ke dalam rumah, pengadu mendapati rumahnya telah dirosakkan dan beberapa dokumen penting telah hilang.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Hasil siasatan, tertuduh telah melakukan kesalahan kerana telah melakukan khianat merosakkan harta benda milik bekas isterinya hingga menyebabkan kerugian.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh diwakili Peguam Abdul Rahman dan Christopher Bada.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru