Monday, August 8, 2022

Polis tahan 4 lelaki disyaki terbabit kes bunuh 

Secara Rawak

IPOH: Polis menahan empat lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dengan kes bunuh seorang lelaki, juga warga asing di sebuah rumah di Buntong, pada Ahad.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata semua suspek berusia dalam lingkungan 33 hingga 46 tahun yang merupakan adik beradik, bapa saudara dan rakan kepada mangsa ditahan pada 1.15 tengah hari.

Beliau berkata polis menerima laporan daripada lelaki berusia 40 tahun bahawa adik lelakinya berusia 37 tahun didapati tidak sedarkan diri di dalam sebuah rumah pada 9.20 pagi.

“Hasil siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di atas lantai, berbantal dan berselimut dan telah disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan malam tadi seperti dipetik Bernama.

Mior Faridalathrash berkata bagaimanapun hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada bahagian perut oleh pukulan objek tumpul.

“Justeru, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Menurutnya polis turut menemui sebuah tukul besi disyaki digunakan sebagai senjata yang mendatangkan kematian terhadap mangsa.

Beliau berkata semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini untuk permohonan reman mengikut Seksyen 117, Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru