Monday, August 8, 2022

Belum ada keputusan lantik wakil Sarawak, Sabah dalam LHDN

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Belum ada keputusan berkaitan  cadangan melantik  wakil Sarawak dan Sabah dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sebab, Kementerian Kewangan masih meneliti aspek perundangan berkaitan cadangan melantik wakil terbabit.

Menurut FMT, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) sama ada kerajaan akan mempertimbangkan wakil tetap dari Sarawak sebagai anggota LHDN.

Lukanisman berkata, peruntukan untuk wakil Sarawak menganggotai LHDN tercatat dalam Perkara 21 (1) Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962 yang merupakan dokumen penting semasa pembentukan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963.

Pada 11 Julai lalu, Premier Sarawak, Abang Johari Openg berkata, kerajaannya menamakan wakil untuk menganggotai Lembaga Pengarah LHDN bagi memantau hasil kerajaan persekutuan supaya Sarawak memperoleh bahagian yang adil dalam geran khas tahunan.

Dengan itu, katanya, Sarawak boleh mengetahui pendapatan yang diperolehi negeri itu dan jumlah yang boleh diberikan, sekiranya mempunyai wakil dalam LHDN.

Keesokannya, Sabah turut mengumumkan ia sudah menyerahkan nama calonnya untuk dilantik ke LHDN kepada perdana menteri dan Kementerian Kewangan.

Pada 11 Julai lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Sarawak menunggu maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan untuk langkah seterusnya.

Menurut beliau, perkembangan ini penting bagi meneruskan usaha menuntut hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perjanjian ini merupakan asas kepada pembentukan Malaysia.

“Apa yang belum kita laksanakan berdasarkan perkara yang termaktub dalam laporan IGC dan MA63 , kita (Sarawak) akan terus perjuangkan,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru