Wednesday, August 17, 2022

Tengku Zafrul yakin BN platform terbaik

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bendahari Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor yang baru dilantik Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersyukur dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan BN pusat dan negeri atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab menjawat jawatan tersebut.

Beliau menyatakan komitmen akan berusaha sebaik mungkin untuk memenuhi tanggungjawab yang diberikan.

“Sebagai orang baru dalam politik, sudah tentu saya memerlukan kerjasama dan perkongsian pengalaman dari pucuk pimpinan dan rakan-rakan BN,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.

“Saya percaya BN adalah platform terbaik sebagai penyatu pelbagai kaum, generasi dan kumpulan dalam negara,” katanya yang juga Menteri Kewangan.

Malam tadi, Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar mengumumkan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN negeri yang baharu menggantikan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos yang kini dilantik sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Noh ketika berucap pada Majlis Penutup dan Makan Malam Konvensyen BN Selangor di sini malam tadi di hadapan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Noh berkata pelantikan Tengku Zafrul adalah antara usaha untuk menawan semula negeri itu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru