Sunday, August 7, 2022

PRU-15: Tidak harus ada lagi suara sumbang

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Seluruh kepimpinan UMNO baik di pusat, negeri dan bahagian, demikian juga pemimpin di ribuan cawangan dan akar umbi wajar bersedia sebaiknya untuk Pilihan Raya Umum (PRU), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

“Tidak wajar ada lagi sekelumit ruang untuk kita berbeza pandang. Yang ada hanyalah ruang memperkasa parti mencari jalan dan wadah kemenangan dalam PRU yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata, rangkuman kekuatan fikir dan tindakan Presiden, Perdana Menteri, Timbalan Presiden, Ahli MKT, anggota Jemaah Menteri akan meletakkan UMNO di kedudukannya yang paling kukuh dan kuat.

“Pada pandangan saya, palu genderang sebenar PRU-15 sudah pun bermula. Segala kekuatan UMNO yang ada mestilah dihalakan ke akar tujuan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini waktu dan ketikanya, hela dan gema nafas kepimpinan UMNO berdegup di paras gelombang dan tahap yang sama. Tidak sewajarnya ada lagi “denyut pandangan sumbang” yang membangkitkan rasa marah dan syak wasangka. Kita sudah terlalu jauh menyeberangi ombak rasa kurang senang dan keraguan yang tidak munasabah,” jelas  Ahli Parlimen Kepala Batas itu lagi.

Sebelum ini, dilaporkan terdapat beberapa puak dalam Umno, termasuk Kluster Mahkamah dan Kluster Kabinet.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru