Sunday, August 7, 2022

Padah berlumba di Sejingkat, dua lelaki ditahan

Secara Rawak

KUCHING: Tindakan dua lelaki memandu menguji kelajuan di Lorong Demak Indah 6, Sejingkat, di sini mengundang padah apabila ditahan dalam Op Samseng Jalanan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek yang ditahan merupakan warga tempatan, berumur 32 dan 37 tahun.

“Dua orang suspek telah dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan serta hilang kelayakan lesen tidak melebihi satu tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi diketuai oleh Inspektor Ngang Kalimpot bersama 11 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching serta dan 12 anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kuching.

Katanya, sebanyak 10 keping saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan sepanjang operasi yang bermula jam 5.30 petang hingga jam 1.30 pagi.

“Kesalahan melibatkan tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak ikut peraturan, gagal menunjukkan lesen, ubah suai ekzos, langgar isyarat papan tanda dan tidak pamer pelekat ‘P’ di hadapan kenderaan,” jelasnya.

Sementara beliau berkata, sebanyak 25 buah kenderaan dan 31 orang telah diperiksa sepanjang operasi.

Tegasnya, Op Samseng Jalanan akan dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan pemandu atau penunggang yang memandu atau menunggang secara berbahaya serta memandu menguji kelajuan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya kemalangan maut di daerah ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru