Monday, August 8, 2022

Jururawat didakwa bunuh bayi lelaki

Secara Rawak

SUNGAI SIPUT: Seorang jururawat persendirian didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki.

Menurut Bernama, T. Rebekal, 30, hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan memandangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Wanita itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian J. Melvin Jeshuran berusia lapan bulan di sebuah rumah di Kampung Muhibbah, Sungai Siput Utara di sini, kira-kira 6 petang, 24 Julai lepas.

“T. Rebekal dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan,” lapor Bernama lagi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. S. Vitthiyeswary manakala tertuduh diwakili peguam K. Nahtan.

Mahkamah menetapkan 3 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan forensik dan bedah siasat.

Pada 26 Julai lepas seorang wanita dan teman lelakinya direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian bayi lelaki yang disyaki didera.

Bayi dengan kesan luka baharu dan lama pada tubuhnya itu dikatakan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Sungai Siput.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru