Tuesday, September 27, 2022

Daya tarikan Telaga Air: Destinasi wajib dikunjungi  di Kuching

Secara Rawak

KUCHING: Kampung Telaga Air yang merupakan kawasan penempatan Melayu sekitar 25 minit perjalanan dari bandar raya Kuching masih meraih popularitinya tersendiri.

Bukan sahaja menyajikan pemandangan tepi sungai yang begitu mempesonakan dengan suasana muara sungainya mendamaikan, malah lokasi ini juga merupakan syurga kepada penggemar makanan laut.

Lokasi ini juga amat sesuai untuk destinasi santai hujung minggu bersama-sama keluarga.

Di samping itu, pengunjung boleh menikmati keenakan jeruk buah dan air kelapa muda yang segar lagi menyegarkan.

Menurut salah seorang peniaga, Asmira Razali, 26, dia berniaga buah-buahan segar dan kuih-muih milik ibunya sejak 2014.

“Setiap hari, saya akan menyediakan sebanyak 30 hingga 40 cawan jeruk buah-buahan segar yang saya peroleh dari kebun, juga daripada pembekal.

“Jeruk buah-buahan dijual antara RM5 untuk cawan kecil sehingga RM15 untuk cawan besar dan saya amat gembira kerana ramai pengunjung yang datang ke Telaga Air selepas pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Zaini Potot, 50, yang menjual makanan ringan dan minuman tempatan turut bersyukur setelah perniagaannya semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, tidak kira hari bekerja atau hujung minggu, pengunjung selalunya akan singgah di gerai penjaja selepas menikmati makanan laut di kafe atau restoran berhampiran.

“Saya sangat bersyukur perniagaan saya berjalan lancar meskipun selepas pandemik Covid-19.

“Ini kerana kebanyakan penjaja terjejas teruk apabila berlakunya sekatan perjalanan dan orang ramai tidak dapat keluar.

“Alhamdulillah, kini keadaan bertambah baik, kami mampu menjana sedikit pendapatan untuk menyara keluarga.

“Bagaimanapun saya berasa bimbang apabila pengunjung singgah untuk membuat pembelian kerana kadangkala ada kereta laju yang lalu lalang,” katanya lagi.

Disebabkan itu, dia berharap agar Kerajaan Sarawak dapat menyediakan tempat berniaga yang lebih strategik dan sesuai kepada penjaja di sini untuk.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru