Sunday, August 7, 2022

Akibat curi motosikal

Secara Rawak

KUCHING: Tiga warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Majistret di sini, hari ini atas kesalahan mencuri sebuah motosikal.

Tertuduh dikenali sebagai Oscar, 24, Latif, 31, dan Pardan, 27, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama memiliki sebuah motosikal milik seorang lelaki berusia 22 tahun.

Mereka didakwa memiliki barang curi tersebut di hadapan sebuah kedai di Metrocity di sini, sekitar jam 6 pagi, 17 Julai lalu.

Oleh itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau boleh dikenakan denda.

Berdasarkan fakta kes, semasa kejadian, pengadu menyedari motosikal milik nama bapanya yang diletakkan di hadapan kedai telah hilang dicuri.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut, dengan anggaran kerugian sekitar RM4,000.

Pada hari yang sama, pihak polis berjaya menahan tiga orang lelaki di sebuah rumah tidak bernombor di Siol Kandis kerana dipercayai terlibat dalam kes curi.

Hasil pemeriksaan terhadap barang-barang rampasan dan pengecaman oleh pengadu mengesahkan motosikal miliknya yang dilaporkan hilang berada di tempat ketiga-tiga tertuduh diserbu.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru