Monday, August 8, 2022

Tiada peluang khianati pengundi

Secara Rawak

KUCHING: Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 mengenai larangan wakil rakyat bertukar parti dianggap satu sejarah baharu politik negara, dengan ramai Adun Sarawak turut menyatakan komitmen untuk menyokongnya.

Naib presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Henry Harry Jinep berkata, lompat parti, yang telah mendapat kelulusan dalam Dewan Rakyat semalam akan memastikan kestabilan politik di negara ini.

Katanya, undang-undang itu akan memastikan harapan pengundi tidak akan dikhianati selepas mengundi wakil rakyat mereka. “Saya percaya semua orang berkongsi sentimen yang sama mengenai rang undangundang itu yang mana ahli

politik yang kerap lompat parti boleh menggugat kestabilan kerajaan,” katanya ketika dihubungi, semalam. Sehubungan itu kata Henry yang juga Adun Tasik Biru, jika wakil rakyat tidak diambil tindakan menerusi RUU ini, ia akan meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak selamat bagi pelabur asing sekali gus tidak menjadikan Malaysia sebagai pilihan pelaburan negara asing.

Beliau mengulas mengenai kelulusan Rang Undangundang yang diluluskan sebulat suara dengan 209 Ahli Parlimen mengundi menyokongnya. Sependapat dengan Henry Jinep, Adun Mulu Datuk Gerawat Gala berharap kelulusan RUU ini akan membawa kestabilan kepada politik dan kerajaan di Malaysia.

Katanya, keputusan ini akan menghalang ahli politik daripada melompat dari satu parti ke parti yang lain atas apa juga alasan mereka. “Malah, seseorang Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika wakil rakyat itu bertukar parti.

“Ini akan memastikan wakil rakyat tidak boleh menyertai parti lain tanpa perlu melalui pilihan raya kecil untuk mendapatkan mandat baharu daripada pengundi kawasan itu,” ujarnya.

Ujarnya, situasi ini juga akan memastikan pengundi mempunyai kata putus terhadap keputusan mereka manakala wakil rakyat pula tidak akan menganggap kemenangan pilihan raya mereka sebagai cek kosong untuk melompat dari parti ke parti lain tanpa merujuk kepada pengundi mereka.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru