Sunday, August 7, 2022

T-Mega Sarawak: Nilai pelaburan RM1.4 bilion, 3,787 peluang pekerjaan

Secara Rawak

PEMBANGUNAN ekonomi perindustrian di Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-MEGA) berupaya meningkatkan nilai eksport daripada RM2.5 bilion pada masa kini kepada RM4.5 bilion setahun menjelang 2030. Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia berikutan perancangan dan usaha komited Kerajaan Sarawak untuk menjadikan kawasan tersebut pilihan ideal untuk pelaburan.

Setakat ini jumlah pelaburan di T-MEGA ialah RM1.4 bilion dan sejumlah RM803.5 juta dicadangkan untuk dilaksanakan hingga 2026. “Ia juga dijangka bakal memberi penambahan 3,787 peluang pekerjaan mahir dan separuh mahir kepada anak tempatan.

“Secara tidak langsung, pelan pembangunan ini akan memberikan impak positif kepada peningkatan taraf kualiti hidup penduduk di kawasan luar bandar dan pinggir bandar,” katanya. Menurut Pengerusi Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) itu, ia turut berupaya meningkatkan penyertaan penduduk tempatan dalam kontrak perladangan perniagaan dan peningkatan pendapatan isi rumah.

“Dalam masa yang sama Tanjung Manis akan menjadi pusat pelancongan berasaskan pertanian, agropelancongan yang penting di Sarawak,” jelasnya. Untuk mencapai sasaran tersebut, Awang Tengah berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang dianggarkan sejumlah RM989.3 juta diperlukan daripada kerajaan dan pihak swasta bagi melaksanakan bebarapa projek mega yang dicadangkan.

“Yang pertama ialah Taman Kejuruteraan Marin Bersepadu Paloh dan akses jalan raya berjumlah RM397.3 juta melibatkan kawasan 1,000 ekar yang bakal memberi peluang kepada pemain industri, perkapalan untuk mengembang operasi mereka. “Berdasarkan input daripada Persatuan Industri Laut Sarawak (SAMIN), taman ini kelak berupaya menjana nilai eksport sebanyak RM1.5 bilion setahun dengan 1,500 peluang pekerjaan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga mengenal pasti keperluan kritikal untuk penggerukan Kuala Rajang kepada kedalaman 11 meter (air surut) bagi memastikan kapal besar dapat bertambat di Pelabuhan Tanjung Manis. “Ini merupakan faktor utama daya tarikan pelabur asing ke sini dan wilayah tengah khususnya.

Maka ia harus dilakukan dengan segera sama ada melalui pembiayaan kerajaan ataupun kerjasama dengan pihak swasta menelan perbelanjaan sekitar RM200 juta. “Dengan penggerukan ini, Tanjung Manis bakal menjadi gerbang import dan eksport utama bagi wilayah tengah, sekali gus berupaya menjadikan pelabuhan di sini sebagai pemangkin pembangunan dan pelaburan wilayah tengah dan T-MEGA khasnya,” jelasnya.

Ujar Awang Tengah, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan melalui Pusaka akan menubuhkan Taman Perabot bernilai RM12 juta di Tanjung Manis dan Kuching. “Ia untuk menampung keperluan pembuatan perabot secara besar-besaran melalui usaha sama dengan pelabur asing. Usaha ini untuk menyemarakkan pelaburan dalam perusahaan perabot dan dijangka dapat menyumbang kepada RM4 bilion nilai ekspot menjelang 2030,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kerajaan juga bakal membina infrastruktur asas untuk Taman Perindustrian Pemprosesan Makanan yang menelan kos RM65 juta bagi pihak pelabur menubuhkan kemudahan-kemudahan pemprosesan makanan berasaskan pertanian dari kawasan Tanjung Manis dan bakul makanan.

“Dengan semua usaha terbabit, kita juga akan menaik taraf taraf Lapangan Terbang Tanjung Manis kepada Code3C yang dapat menampung persinggahan pesawat B737 bagi menilai kebolehan menjadikannya sebagai hab pesawat kargo di Sarawak dengan kos RM300 juta,” katanya lagi. Tambahnya, berpaksikan ekonomi digital, pendekatan pertanian moden dan berteknologi tinggi untuk tanaman tunai juga diperlukan untuk menjana ekonomi baharu pada masa depan.

“Justeru kemudahan asas perlu disediakan bagi menarik pelaburan menggunakan pendekatan Pertanian Alam Sekitar Terkawal (CEA) melibatkan kos RM15 juta. “Terkini kita telah menerima cadangan daripada syarikat Singapura untuk menubuhkan pertanian menegak di Tanjung Manis melibatkan anggaran pelaburan sebanyak SGD35 juta untuk fasa satu, SGD 315 juta untuk fasa dua dan SGD400-500 juta dalam fasa tiga.

Pertanian menegak ini juga dialu-alukan selari dengan agenda negara untuk mengurangkan jurang keselamatan makanan,” jelasnya. Usaha terbaharu Pusaka bersama Zebu Capital Sdn Bhd dan Northfield Group dari Brazil untuk mengasaskan penternakan lembu bersepadu dengan nilai pelaburan sebanyak RM87.5 juta di Tanjung Manis bakal dikembangkan ke tempat lain yang sesuai di Sarawak. Sementara Pengurus Besar Pusaka Datuk Hashim Bojet berkata, antara projek lain yang bakal dibina untuk T-MEGA adalah membina 70 unit kediaman, 220 unit bangunan perindustrian serta kem pekerja.

“Selain itu, bagi menarik lebih ramai pelabur asing serta perancangan pembangunan masa hadapan, kita akan membina rumah kelab dan chalet, terminal bas, masjid, industri pembinaan dan pembaikan kapal. “Malah sebagai pelan jangka panjang, kita akan membina hospital, padang golf, pusat rekreasi, resorts, perumahan, pusat beli-belah, taman serta banyak lagi kemudahan hiburan,” tambahnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru