Monday, August 8, 2022

Sarawak, Melaka promosi inisiatif bandar pintar

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak dan Melaka menjalinkan kerjasama untuk mempromosikan inisiatif bandar pintar berkembar (smart twin-city) dari segi warisan sejarah, budaya serta pelancongan melalui Pelan Tindakan Melaka Pintar dan Pelan Induk Bandar Pintar Kuching.

Pengurus projek, PLANMalaysia, Pejabat Projek Zon Selatan  TPr Sulaiman Mohammad berkata, Kerajaan Melaka akan melancarkan Pelan Tindakan Melaka Pintar Ogos ini dan bakal melengkapkan negeri tersebut sebagai negeri maju.

“Pelan tersebut juga akan menjadi cabaran kepada kita.  Oleh itu, kami datang ke sini (Sarawak) untuk belajar dari negeri ini, melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) tentang cara menyelaraskan usaha kami dalam inisiatif bandar pintar.

“Dan bagi saya, terdapat potensi besar bagi Melaka dan Sarawak untuk bekerjasama dalam bidang seperti warisan sejarah, budaya serta pelancongan kita yang kaya,” kata Sulaiman selepas taklimat SMA kepada delegasinya yang diadakan di Pusat Inovasi Warisan Kreatif SMA (CHIC), di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Besar SMA Ts Dr Zaidi Razak memberitahu bahawa beliau mengakui Melaka jauh di hadapan Sarawak dari segi pelancongan tetapi mereka memilih untuk kekal merendah diri.

“Ini dapat dilihat daripada usaha mereka kerana masih bersedia untuk datang belajar ke Sarawak dan SMA dalam pelbagai inisiatif yang telah berjaya dilaksanakan,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru