Sunday, August 7, 2022

Remaja perempuan diusir keluar negara

Secara Rawak

KUCHING: Seorang remaja perempuan asing dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selepas diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen untuk pengusiran kerana masuk ke negara ini tanpa permit. Remaja berusia 17 tahun berasal dari Indonesia itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Maris Agan.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) kanun yang sama, kerana masuk ke negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah. Dia melakukan kesalahan di sebuah kedai makan di Batu 7, Jalan Penrissen, sekitar jam 3.20 petang, 19 Julai lalu.

Sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun dan boleh dikenakan sebat tidak lebih enam sebatan.

Selain itu, tertuduh juga dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, kerana terlibat dalam aktiviti judi dalam talian. Majistret Zubaidah Sharkawi memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 14B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, kerana mengendalikan sebuah mesin judi dalam talian iaitu menggunakan telefon bimbit. Sementara itu, di Mahkamah Sesyen yang sama, seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara dua bulan selepas mengaku bersalah kerana masuk ke Malaysia tanpa permit perjalanan yang sah.

Berdasarkan pertuduhan, Riki Yusnan, 37, didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) kanun yang sama, kerana masuk ke Sarawak, Malaysia tanpa permit sah. Dia didakwa berada di sebuah kedai serbaneka mini, Kota Sentosa, sekitar jam 2.30 petang, 19 Julai lalu.

Selain itu, di mahkamah berasingan, Riki turut dijatuhi hukuman penjara empat bulan kerana terlibat mengendalikan mesin judi dalam talian di sebuah kedai serbaneka mini. Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap 19 Julai lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sangari Ponnan, Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli dan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru