Monday, August 8, 2022

Piala Dunia Qatar: Setengah juta mohon jadi sukarelawan

Secara Rawak

ZURICH: Lebih daripada setengah juta orang memohon menjadi sukarelawan global untuk Piala Dunia Qatar 2022 FIFA.

FIFA dalam kenyataan yang dipetik Bernama berkata, jumlah permohonan yang diterima melonjak daripada 100,000 sejak Oktober tahun lalu, membayangkan minat serta keghairahan peminat sukan berkenaan.

“Lonjakan jumlah permohonan ini amat menakjubkan.

“Peningkatan jumlah ini menunjukkan betapa program dan pentas sukarelawan kita menjadi suatu hakikat, sebuah komuniti global, dengan minat yang begitu mendalam untuk mengambil bahagian dalam Piala Dunia FIFA di Qatar hujung tahun ini.

“Sukarelawan memainkan peranan utama dalam setiap kejohanan FIFA. Sekali lagi, sukarelawan mempamerkan komitmen dan kecintaan mereka terhadap sukan ini dan untuk itu kami amat berterima kasih,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Majoriti permohonan untuk menjadi sukarelawan itu adalah peminat sukan di sekitar Qatar dengan 43.2% dari Asia dan 40.2% lagi dari negara Afrika.

Sebanyak 94.4% pemohon boleh berbahasa Inggeris.

Permohonan untuk program sukarelawan itu akan ditutup pada Ahad, 31 Julai dan temuduga dijangka tamat pada 13 Ogos.

Program Sukarelawan Piala Dunia Qatar 2022 yang dilancarkan pada Disember 2022 adalah yang terbesar dalam sejarah penganjuran sukan berkenaan kerana setiap sukarelawan yang berdaftar, boleh memohon untuk menyertai program kejohanan persatuan antarabangsa lain.

Piala Dunia Qatar 2022 FIFA akan bermula 21 November hingga 18 Disember depan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru