Sunday, August 7, 2022

Pelancong perlukan visa masuk

Secara Rawak

KUCHING: Urusan kemasukan pelancong menggunakan visa ke negeri ini luar bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac). Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia terletak pada Kementerian Dalam Negeri untuk membuat keputusan bagi memudahkan kemasukan pelancong.

“Kita membuat perbincangan dengan menteri KDN berhubung perkara tersebut. Malah, surat juga telah dihantar supaya urusan visa dapat dipermudahkan dalam kalangan pelancong.

“Pada masa sama, ia juga diharap dapat menjadi satu dasar sementara di Malaysia agar lebih ramai pelancong masuk ke sini,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Ke-23 SubJawatankuasa Kebudayaan Asean dan Mesyuarat Ke-11 Asean Plus Three Kerjasama Kebudayaan, di Hotel Waterfront, di sini, semalam.

Tambahnya, Singapura kekal menjadi pelancong nombor satu di Malaysia, diikuti Thailand, Filipina dan India. Malah katanya, India mempunyai kemasukan yang banyak tetapi, disebabkan mereka memiliki visa kemasukan tunggal. Justeru katanya, permohonan sudah dibuat, namun bergantung kepada KDN untuk mempertimbangkan agar urusan visa dapat dipermudahkan bukan sahaja untuk India, tetapi juga negara lain.

“Kita mahukan lebih ramai pelancong datang ke sini, oleh itu mereka perlu diberi kemasukan berganda visa. Buat masa ini, kita sudah melangkaui sasaran kemasukan pelancong iaitu sebanyak 4.5 juta. Bulan September kelak, ia akan dilihat semula, khususnya apabila Brunei masuk pada 1 Ogos.

“Kita jangka kemasukan pelancong ke Malaysia akan melangkaui sasaran iaitu melebihi 8 juta,” ujarnya. Menurutnya lagi, apabila lebih ramai pelancong masuk, ia juga akan memberi manfaat kepada  masyarakat untuk meningkatkan ekonomi, sekali gus menyumbang kepada sektor pelancongan.

Sementara, beliau turut menjelaskan tentang masalah kekurangan pekerja dalam sektor pelancongan. Katanya, seperti yang dibincang dalam kabinet, sudah ada berpuluh-puluh ribu kemasukan termasuk bagi sektor pelancongan, terutama sekali sektor pembinaan.

“Manakala, untuk industri kami, angka sukar dinyatakan kerana setiap hari ada kemasukan secara berkumpulan dari pelbagai negara. “Untuk beberapa tempat seperti Langkawi, kita ada pekerja tempatan dan itu juga membantu. Yang penting, tiada rungutan dalam kalangan pekerja,” jelasnya

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru