Sunday, August 7, 2022

Jangan beri persepsi negatif terhadap produk pelancongan sendiri

Secara Rawak

PADAWAN: Memberi persepsi negatif terhadap produk pelancongan tempatan harus dihentikan kerana ia sama sekali tidak membantu industri pelancongan negeri ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi Datuk Willie Mongin berkata, masyarakat harus memainkan peranan dalam membantu mempromosikan Sarawak khususnya dalam sektor pelancongan.

Justeru katanya, menyebar persepsi negatif terhadap produk pelancongan sama sekali tidak membantu mempromosi negeri ini, malah memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang.

“Kita mempunyai pelbagai produk yang boleh ditawarkan. Namun, saya bersetuju bahawa segelintir kita amat negatif terhadap produk pelancongan kita sendiri.

“Bagaimana boleh membantu negeri jika kita sendiri tidak mempunyai kepercayaan pada produk sendiri?

“Saya berharap mulai sekarang, kita menjadi jurucakap untuk mempromosikan produk pelancongan sendiri, bukan sahaja dalam negara tetapi ke seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada Festival Mistik Bidayuh di Dewan Parish St Paul Kampung Bunuk, di sini, malam tadi.

Festival dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berkata, memberi persepsi negatif terhadap produk pelancongan akan membunuh industri tersebut.

“Mereka yang berkecimpung dalam perniagaan pelancongan tidak akan mempunyai perniagaan kerana tindakan negatif tersebut.

“Jika tiada perniagaan, tidak akan ada pekerjaan dan pendapatan untuk negeri ini,” jelasnya.

Berhubung tarian tradisional kaum Bidayuh, beliau yang juga penaung Persatuan Segu Bunuk Penrissen (PSBP) berkata, ia sentiasa memainkan peranan penting dalam budaya dan warisan Bidayuh.

Katanya, amat menyedihkan tarian Bidayuh kebelakangan ini kurang mendapat minat khususnya dalam kalangan generasi muda untuk meneruskan tradisi tersebut.

Justeru beliau berkata, masyarakat kaum tersebut harus mengekalkan budaya dan tradisinya yang unik itu.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru