Sunday, August 7, 2022

Hijrah Rasulullah bawa gagasan murni

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bukanlah semata-mata bagi melepaskan diri daripada menghadapi tekanan, penindasan, dan penghinaan; apatah lagi jika hendak disamaertikan dengan pelarian atau suaka politik, kata Presiden Pas.

Menurut Tan Sri Abdul Hadi Awang, hijrah Baginda Rasul SAW bersama-sama para sahabat adalah dengan membawa suatu gagasan murni, iaitu untuk membina sebuah masyarakat madani dan melaksanakan keadilan sama ada terhadap orang Islam mahupun yang bukan Islam.

“Seterusnya, hijrah juga sangat berkait rapat dengan jihad bagi mempertahankan aqidah dan menegakkan Islam dalam diri serta negara yang berwawasan akhirat supaya Islam memimpin bukan dipimpin,” kata beliau menerusi Facebook beliau sempena Sambutan Maal Hijrah 1444.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, pada masa yang sama, jihad juga bererti tidak menyerah kalah kepada musuh demi mendukung dan mengangkat syariat Islam ke tempat yang tertinggi.

Justeru, katanya peranan dan tanggungjawab bagi menegakkan dan mempertahankan Islam perlulah digalas oleh semua pihak, sama ada oleh para pemerintah mahupun rakyat jelata secara keseluruhannya.

“Hayatilah iktibar melalui kisah hijrah Rasulullah SAW yang sangat mendidik kita agar sentiasa yakin terhadap janji Allah, teguh dengan keimanan, kukuh dengan persaudaraan, serta sabar dalam menjunjung risalah Islam yang agung,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru