Sunday, August 7, 2022

Denda RM10,000 kerana main judi atas talian

Secara Rawak

KUCHING: Padah terlibat dalam aktiviti judi atas talian, seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Saepul, 29, berasal Jawa Barat, Indonesia selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan  jurubahasa di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengendalikan sebuah mesin judi iaitu telefon bimbit di sebuah premis di Jalan Penrissen di sini, kira-kira jam 3.45 petang, 19 Julai lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 Yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 bagi setiap mesin judi dan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi lima tahun.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padawan telah membuat pemeriksaan dan serbuan ke atas premis berkenaan untuk mengesan kegiatan perjudian.

Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian atas talian iaitu sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM100  dan membawa kepada penahanan tertuduh.

Hasil daripada analisa Pakar Judi juga mendapati telefon bimbit milik tertuduh merupakan mesin judi sebagaimana yang dinyatakan dalam seksyen 2 Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Telefon bimbit yang dirampas dari suspek, yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan loteri haram.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru