Monday, August 8, 2022

Premier bertemu pihak Dana Kekayaan Berdaulat UK

Secara Rawak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai delegasi Sarawak bertemu dengan pegawai International Forum of Sovereign Wealth Funds (IFSWF) dan PriceWaterhouseCoopers (PWC) sebagai sebahagian daripada kajian sebelum menubuhkan Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak.

Memetik TVS, Abang Johari dalam ucapan ringkas sebelum taklimat bersama-sama IFSWF dan PWC di London berkata, Sarawak berharap untuk mempelajari amalan terbaik mengenai strategi pelaburan, pengurusan dan tadbir urus Dana Kekayaan Berdaulat United Kingdom.

Katanya, beliau juga berharap dapat diberi maklumat mengenai rangka kerja, undang-undang dan dasar ke arah penubuhan dana berkenaan.

“Kedudukan kewangan Sarawak kini agak kukuh, oleh itu kerajaan negeri mahu menjana pendapatan daripada lebihan dana untuk manfaat generasi akan datang,” katanya seperti dilapor TVS.

Turut menyertai delegasi Abang Johari ialah dua Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.

Rombongan juga terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Peguam Besar Negeri Sarawak, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar.

Menurut laman webnya, IFSWF yang ditubuhkan pada 2008 merupakan organisasi sukarela dana kekayaan berdaulat global yang komited untuk bekerjasama dan mengukuhkan komuniti melalui dialog, penyelidikan dan penilaian berterusan.

Abang Johari seterusnya dijadualkan bertemu Pengurus Dana UK Government Investment Ltd (UKGI), iaitu sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh HM Treasury untuk memahami struktur dan dasar di samping mendapat nasihat pakar tentang pembangunan Dana Kekayaan Berdaulat.

Sebelum ini, Abang Johari berkata, satu ordinan akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November depan bagi menyediakan rangka kerja perundangan pembentukan dana itu.

Premier Sarawak sebelum ini telah ke Norway dan Singapura untuk meninjau tentang model yang digunakan oleh kedua – dua negara berkenaan dalam menguruskan Dana Kekayaan Berdaulat masing – masing.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru