Monday, August 8, 2022

Mandat rakyat  melalui pilihan raya jangan dikhianati

Secara Rawak

 

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap tiada lagi insiden pengkhianatan terhadap mandat rakyat dengan lulusnya pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat ‘lompat parti’.

“Tiada lagi catur-mencatur kuasa dalam kalangan pengkhianat mandat rakyat.

“Tiada lagi pencabulan mandat rakyat yang menyebabkan negara melalui episod hitam dalam sejarah demokrasi tanahair.

“Tiada lagi pemerkosaan mandat rakyat yang menjadi punca ketidakstabilan negara selama lebih empat tahun,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Semalam, di Dewan Rakyat terciptanya sejarah besar buat negara apabila Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga manakala 11 tidak hadir.

Pindaan itu dibahaskan 54 Ahli Parlimen selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkannya untuk bacaan kali kedua kira-kira 11.30 pagi, Rabu..

Pindaan mengandungi empat perenggan dan enam fasal, dengan empat daripadanya adalah fasal baharu antaranya menyebut seseorang Ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi dimenanginya, jika wakil rakyat itu bertukar parti.

Dr Asyraf berkata sekarang adalah masa untuk kembalikan mandat rakyat bagi memilih sebuah kerajaan yang bukan didirikan atas pengkhianatan.

“Maka, sudah tiba masanya mandat rakyat dikembalikan agar sebuah kerajaan mutlak yang bukan didirikan atas pengkhianatan mandat dapat dipilih secara demokratik,’ ujarnya.

“Yang pasti rakyat tidak akan sesekali melupakan wajah-wajah pengkhianat mandat rakyat sehinggakan negara terpaksa menempuhi tempoh kelam dalam lipatan sejarah tanahair,” katanya.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru