Monday, August 8, 2022

Pelabuhan laut dalam Sarawak di Tanjung Embang

Secara Rawak

KUCHING: Sebuah pelabuhan laut dalam baharu bakal dibangunkan di Tanjung Embang di muara Sungai Sarawak di sini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kajian dilakukan susulan pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Pelabuhan Antwerp-Bruges, Belgium dengan Hubline Berhad dari Sarawak.

Abang Johari menzahirkan keyakinan penerapan inovasi terkini dalam pengurusan dan perkhidmatan akan memberi kelebihan kepada pelabuhan itu nanti sebagai  pelabuhan yang cekap dengan kos yang murah.

“Jika semuanya sudah ada, para pelabur sudah ada keyakinan, saya yakin pelabuhan ini nanti akan mempunyai kelebihan untuk berkembang maju,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi cadangan membangunkan pelabuhan berkenana.

Setiba di Pelabuhan Antwerp-Bruges, Abang johari dan rombongannya diberi taklimat tentang pembangunan dan operasi pelabuhan itu oleh para pegawai pelabuhan.

Abang Johari menambah, awal Julai lalu, beliau berada di Singapura untuk menghadiri taklimat juruperunding mengenai impak sosio ekonomi projek itu yang melibatkan kawasan seluas 109 kilometer persegi.

Katanya keseluruhan Tanjung Embang akan dibangunkan oleh Kumpulan ASSAR, sebuah syarikat induk pelaburan milik penuh Kerajaan Sarawak.

Sementara Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak (EPU), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, pelabuhan itu akan dibina berkonsepkan integrasi dengan pembangunan industri.

Jelas beliau, ia merupakan salah satu dari dua pelabuhan laut dalam yang akan dibangunkan di bawah Pelan Strategik Pasca-Covid-19 (PCDS 2030).

“Sebuah lagi pelabuhan akan dibangunkan di kawasan utara Sarawak, sebagai sebahagian daripada program memulih dan memangkin pertumbuhan ekonomi Sarawak dalam pasca Covid-19,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru