Monday, August 8, 2022

Nanas Josapine, Moris semanis namanya

Secara Rawak

TANJUNG MANIS mempunyai potensi besar untuk dibangunkan menjadi antara pengeluar nanas utama Sarawak pada masa hadapan. Projek penanaman buah nanas secara komersial di Tanjung Manis menyerlahkan lagi potensi kawasan ini sebagai pengeluar nanas berkualiti tinggi di kawasan tengah Sarawak.

Pada masa ini, tanah seluas 25 ekar yang terletak kira-kira lima kilometer dari pusat Tanjung Manis digunakan untuk penanaman nanas jenis MD2, Josapine, N36 dan Moris berkualiti oleh Saramanis Sdn Bhd. Kejayaan syarikat tersebut sebagai pelopor projek penanaman nanas membuktikan Tanjung Manis bukan hanya boleh dikembangkan tetapi juga berupaya menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Pengurus tapak Jeremy Paran Labang berkata, langkah proaktif itu juga sebagai menyahut seruan kerajaan mentransformasikan pertanian kepada sektor moden, berdaya saing di samping mampu menjana pendapatan lumayan.

“Syarikat memilih Tanjung Manis untuk pengeluaran makanan kerana lokasinya yang strategik termasuk kemudahan infrastruktur yang mencukupi. “Kawasan ini juga berhampiran dengan Sibu memudahkan kami mendapatkan keperluan logistik serta pertanian lain.

“Tambahan pula, tanah di sini hampir sama dengan di Miri. Jadi, kami yakin kejayaan kami di Miri, boleh dilakukan di sini,” katanya mereka berkembang ke Tanjung Manis pada 2018.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pusaka kerana bersetuju menyewakan tanah untuk penanaman nanas di sini, kehadiran di sini bukan sahaja menyokong pembangunan industri nanas negeri tetapi pada masa yang sama menyumbang kepada ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Tambahnya, hasil tanaman beberapa tahun ini juga memberangsangkan dan pernah menerima banyak permintaan dari luar negara seperti dari Singapura, Brunei termasuk Rusia. Bukan sekadar mengeluarkan nanas untuk dieksport Jeremy berkata, kerajaan negeri turut melantik mereka sebagai  syarikat utama dalam usaha memajukan industri nanas di negeri ini.

“Buat masa ini, salah satu fokus utama kami juga adalah menghasilkan benih untuk lebih banyak bahan tanaman. Separuh daripada nanas di sini akan dihantar ke Miri dan dari situ akan diagihkan semula (kepada petani),” katanya. Jeremy berkata syarikat itu bercadang mengembangkan operasinya ke Kuching.

“Ini bermakna kita mempunyai ladang yang boleh menampung bahagian utara, tengah dan selatan Sarawak,” katanya. Jeremy juga memberitahu, syarikat tersebut bercadang untuk menceburi industri hiliran melalui penyertaan penduduk setempat. “Ini merupakan sebahagian inisiatif kita untuk mengkomersial dan memodenkan sektor pertanian dengan memanfaatkan teknologi terkini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pusaka Food Industry Sdn Bhd (PFISB) anak syarikat milik penuh Pusaka Capital Sdn Bhd  yang merupakan Commercial Arm PUSAKA sedang melaksanakan projek penanaman nanas bersekala besar di kawasan Jalan 12 km melibatkan 2,000 ekar dengan plot perintis berkeluasan 100 ekar sedang ditanam dengan nanas sepesis MD2 melalui kaedah penggunaan sulur.

Selaras dengan perancangan jangka panjang, PFISB menyasarkan untuk menjadi pengeluar nanas dan benih nanas terbesar di Sarawak dengan keluasan tanah sebanyak 2,000 ekar.

Melalui kerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Negeri Sarawak, PFISB bakal melancarkan program tanaman nanas bagi tahun 2022 melibatkan skim secara kontrak kepada pengusaha kecil tempatan yang terdiri daripada penduduk Tanjung Manis.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru