Sunday, August 7, 2022

Warga Jepun miliki dadah dihukum denda

Secara Rawak

KUCHING: Seorang peniaga restoran warganegara Jepun dijatuhi hukuman denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 2.63 gram.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Tomu Morioka, 38, selepas satu pertuduhan pindaan dibacakan di hadapannya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah terlarang itu dalam sebuah bilik di sebuah rumah beralamatkan Jalan Ban Hock, sekitar jam 11.25 pagi, 6 Mei lalu.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah
Seksyen 12(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkolik, IPD Kuching telah melakukan serbuan di sebuah rumah menahan seorang lelaki warga asing yang sedang tidur kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti dadah.

Hasil pemeriksaan dalam bilik tertuduh menemui empat paket plastik kecil lutsinar dipercayai dadah jenis syabu.

Hasil siasatan dan laporan kimia mendapati barang tersebut merupakan dadah jenis syabu dengan berat kasar 2.63 gram.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru