Monday, August 8, 2022

Tangani kekurangan pelaut tempatan – Abang Jo

Secara Rawak

SIBU: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan kewujudan Pelita Mas Laut Sdn Bhd, sebuah akademi pelaut di negeri ini sebagai penyelesai kepada masalah kekurangan pelaut tempatan bagi menampung permintaan industri perkapalan sama ada di dalam mahupun di luar negeri.

Beliau berkata, akademi yang sudah bertapak 20 tahun di negeri ini adalah antara akademi pelaut yang teratas selepas Akademi Laut Malaysia (ALAM) di Melaka.

“Namun terdapatnya Institut Latihan Marin khusus dalam Pengajian Perkapalan sama ada bahagian dek atau enjin kewujudan akademi ini dapat meningkatkan kadar pembangunan industri perkapalan di Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.

Ia dapat menaik taraf pendapatan ekonomi penduduk tempatan dengan menghantar anak-anak mereka atau menyertai sendiri kursus-kursus yang dijalankan di Pelita MasLaut Sdn Bhd,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin yang mewakilinya menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Kumpulan Pelita Mas Laut Ke-20 dan Tamat Latihan Pelatih Marin Rating Siri 1/2022.

Hadir sama ialah Adun Balingian Abdul Yakub Arbi, Pengarah Urusan Kumpulan Pelita Mas Laut Masni Amit, Pengarah Jabatan Laut Wilayah Sarawak Mohamad Marzuki Brahim, Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak Louis Simon Peter, Pengarah Kumpulan Pelita Mas Laut Hamimah Abun, Pengurus Besar Kumpulan Pelita Mas Laut Mohamad Nazim Masni dan Pengarah Operasi Kumpulan Pelita Mas Laut Mohamad Safrin Masni.

Sepanjang berkhidmat akademi tersebut, telah mencapai kejayaan dan pengiktirafan, iaitu Anugerah Institusi Maritim Yang Terbaik Malaysia pada 2016 bersempena Hari Pelaut Sedunia 2017 di KLCC. “Ini menunjukkan pencapaian Pelita Mas Laut Sdn Bhd amat membanggakan Kerajaan Sarawak.

Mereka telah menjalankan tugasnya sejajar dengan mandat yang telah diamanahkan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Keperluan Pelaut Malaysia dalam menyediakan latihanlatihan yang telah digariskan oleh “International Maritime Organisation” (IMO) yang memiliki HQ atau Ibu Pejabat di Geneva,” tegasnya.

Dengan kejayaan itu, jelasnya, Pelita Mas Laut Sdn Bhd telah mencipta nama dalam melahirkan pelaut mahir dalam pelbagai program berkaitan. “Saya berasa amat bangga dengan pencapaian yang diperolehi oleh Pelita Mas Laut sepanjang bertapak dalam industri ini. “Dimaklumkan juga satu kampus akademi itu sedang dibina di Miri untuk menampung keperluan dan permintaan tenaga pelaut tempatan.

“Visi ini bertujuan mengurangkan atau menolak kedatangan pelaut asing ke syarikat-syarikat perkapalan di Sarawak sebagaimana yang diimpikan oleh kita agar Sarawak menolak penggunaan tenaga asing,” kata beliau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru