Monday, August 8, 2022

Peniaga Miri bersedia durian runtuh bermula Ogos ini

Secara Rawak

KUCHING: Industri makanan dan minuman (F&B) serta penginapan di Miri dijangka mendapat durian runtuh, sebaik sempadan antara Miri-Brunei mula dibuka pada 1 Ogos nanti.

Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia Cawangan Sarawak, John Teo menjangkakan sekitar 2,000 kenderaan dari Brunei akan menyeberang ke Miri menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Sungai Tujoh.

“Ini akan membawa masuk sekurang-kurangnya 5,000 rakyat Brunei serta orang lain ke Miri.  “Dengan purata perbelanjaan sekitar RM800 bagi setiap warga Brunei di Miri, ini akan membawa purata RM4 juta sehari atau RM120 juta sebulan, atau jumlah minimum RM1.44 bilion dalam perbelanjaan pelancongan,” katanya yang dihubungi, pada Isnin.

Justeru, beliau berkata semua pengendali perniagaan makanan dan minuman (F&B) serta penyedia penginapan di Miri mesti bersiap sedia untuk menerima kemasukan jiran mereka itu.

“Kita di Miri mesti bersiap sedia untuk kemasukan orang Brunei, bukan sahaja orang Brunei tetapi juga orang Sarawak yang menyeberang dari Lawai dan Limbang, malah hingga ke Sabah.

“Hotel/Motel/Inn dan penyedia penginapan lain mesti bersedia untuk memastikan bilik sentiasa ada termasuk bagi perkhidmatan restoran makanan dan minuman, gedung serbaneka, pusat beli-belah, kedai, kopitiam dan lain-lain,” katanya.

Sehubungan itu, Teo berkata pihaknya berharap Pasukan Jawatankuasa Kerjasama Pelancongan Sarawak-Brunei-Sabah dapat memulakan promosi rentas antara satu sama lain. Katanya, jawatankuasa itu sangat penting bagi Miri kerana Lapangan Terbang Miri masih lagi lapangan terbang domestik.

“Hanya satu lapangan terbang antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK). “Miri perlu menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan Kota Kinabalu untuk membawa masuk pelancong asing ke Miri,” katanya.

Dalam pada itu, Teo berkata pihaknya juga akan mengadakan promosi Sia Sitok V3 untuk warga Sarawak bermula 1 September depan. Katanya, kembali atas permintaan ramai, promosi Sia Sitok untuk hotel dan pelacongan sebelum ini telah habis dijual dalam masa dua minggu selepas pelancaran.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru