Monday, August 8, 2022

Mengapa pelanjutan Subseksyen 4(5) Sosma perlu diluluskan?

Secara Rawak

Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau Akta 747 sering dikecam oleh beberapa pihak kerana didakwa zalim.

Ia malah disamakan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan oleh kerajaan pada 22 Jun 2012 walaupun kedua-duanya jauh berbeza.

Peliknya, pihak ini tidak pula berkata apa bila negara seperti Singapura dan Amerika Syarikat hingga sekarang masih menguatkuasakan akta seumpama ISA.

SOSMA sebenarnya begitu jauh berbeza daripada ISA kerana prosedurnya yang lebih ketat dan tidak boleh digunakan untuk membuat tahanan politik.

Ini terkandung di dalam subseksyen 4(3) yang menyebut “Tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya.”

Subseksyen 4(4) pula memperuntukkan bahawa orang yang ditangkap dan ditahan boleh ditahan untuk tempoh selama 24 jam bagi maksud penyiasatan.

Subseksyen 4(5) pula memperuntukkan bahawa seorang pegawai polis yang berpangkat Penguasa Polis atau berpangkat lebih tinggi daripada Penguasa Polis boleh melanjutkan tempoh tahanan untuk tempoh yang tidak lebih daripada 28 hari bagi maksud penyiasatan.

Mengikut subseksyen 4(9), pegawai polis yang menjalankan penyiasatan itu hendaklah mengemukakan kertas siasatan kepada Pendakwa Raya pada hari ke 21 tahanan ditahan.

Ini bermakna yang pihak polis sebenarnya mempunyai masa yang pendek, iaitu 20 hari sahaja, untuk membuat siasatan, di mana tahanan ada akses kepada peguam dan selepas itu mereka akan dibicarakan di mahkamah terbuka.

Ini jauh berbeza daripada ISA di mana tempoh tahanan dibenarkan selama 60 hari, mereka tidak ada akses kepada peguam dan selepas itu perintah tahanan dikeluarkan tanpa bicara.

Subseksyen 4(11) juga menyebut subseksyen 4(5) hendaklah disemak tiap-tiap lima tahun dan hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan jika suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu.

Inilah yang cuba dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah pun mengusulkan di Dewan Rakyat pada 23 Mac lalu mengenai pelanjutan kuat kuasa subseksyen 4(5) bagi tempoh lima tahun lagi mulai daripada 31 Julai.

Begitupun, usul yang penting sekali untuk keselamatan negara ini ditolak setelah ia hanya memperolehi 85 undi menyokong berbanding 86 undi menolak manakala 50 Ahli Parlimen lagi tidak hadir.

Kegagalan usul ini telah menyebabkan Ahli Parlimen Gua Musang dari UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, menggesa Menteri dan Timbalan Menteri yang tidak hadir ketika sesi pengundian dipecat atau meletakkan jawatan kerana cuai.

Ada spekulasi liar yang menyebut bahawa sebab sesetengah Ahli Parlimen penyokong kerajaan, khususnya daripada UMNO, tidak hadir adalah kerana mereka tidak bersetuju sama ada dengan usul tersebut atau dengan pembawa usul dari BERSATU.

Begitupun, perkara ini terbukti tidak betul setelah Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengemukakan usul untuk membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat bertarikh 23 Mac bagi membolehkan ia dibentangkan semula esok.

Penyata Rasmi Parlimen menunjukkan bahawa Ahli-Ahli Parlimen penyokong kerajaan dari UMNO khasnya berbahas bagi menyokong usul tersebut sehingga ia diluluskan setelah memperolehi 105 undi setuju berbanding 83 undi tidak setuju manakala 32 Ahli Parlimen lagi tidak hadir.

Rekod ketidakhadiran Ahli-Ahli Parlimen penyokong kerajaan juga adalah seimbang dengan hanya 12 Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang tidak hadir, iaitu 4 dari BERSATU, 4 dari UMNO, 2 dari PAS, 1 dari PBB dan 1 dari STAR.

Kesalahan yang ada dalam Jadual Pertama SOSMA jelas merupakan kesalahan-kesalahan besar yang melibatkan kesalahan-kesalahan keselamatan dan mustahil boleh diselesaikan dalam tempoh 24 jam seperti kes-kes jenayah lain dalam Kanun Keseksaan.

Siasatan kes-kes keselamatan adalah rumit dan memerlukan masa untuk dilengkapkan terutamanya bagi mendapatkan keterangan daripada orang yang ditahan dan bagi mengesan rakan-rakan sejenayah yang masih bebas.

Jika subseksyen 4(5) ini tidak dilanjutkan oleh Parlimen, pihak polis hanya boleh menggunakan subseksyen 4(4) iaitu tempoh siasatan selama 24 jam sahaja untuk menyiasat kes jenayah terancang, kes sindiket penyeludupan migran, kes kumpulan keganasan dan sebagainya.

Ada juga Ahli Parlimen yang mempersoalkan mengapa pihak polis tidak menggunakan peruntukan seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk menahan reman kesemua suspek tetapi ini memerlukan suspek dibawa di hadapan majistret untuk direman.

Tidakkah mereka sedar bahawa tindakan membawa suspek ke mahkamah untuk direman akan mendedahkan maklumat mengenai penangkapan suspek dan memberi peluang kepada ahli kumpulan yang lain untuk melupuskan bukti dan melarikan diri?

Siasatan kes terutamanya bagi kes kesalahan keganasan yang bersifat rentas sempadan memerlukan bantuan bersama dalam perkara jenayah daripada negara luar dan ini memerlukan masa yang lama.

Begitu juga dengan kerumitan menyiasat jenayah penyeludupan migran yang melibatkan satu rangkaian yang luas melibatkan sindiket yang berada di negara sumber, negara transit dan negara destinasi yang juga memerlukan masa yang lama.

Pelanjutan tempoh kuat kuasa juga adalah signifikan bagi siasatan kes-kes yang melibatkan aspek teknikal dan saintifik serta turut memerlukan masa dan ketelitian.

Sebab itulah semua pihak seharusnya mengenepikan perbezaan fahaman politik dan sentimen parti/peribadi untuk menyokong sepenuhnya usul ini bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara, apatah lagi bila usul terbaru ini telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 13 Julai dan Sesi Libat Urus mengenainya juga telah beberapa kali diadakan.

Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pegawai Khas Perdana Menteri.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru