Monday, August 8, 2022

Keluarkan produk sawit: China labur RM6 bil

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Syarikat-syarikat milik kerajaan China akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengeluarkan produk sawit di Malaysia melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM6 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata produk sawit itu ialah minyak sayuran rawatan hidro (HVO) dan bahan api penerbangan mampan (SAF).

Beliau berkata syarikat dari China ialah Shanxi Construction Investment Group Co Ltd (SCIG) dan Institute of Coal Chemistry, Chinese Academy of Sciences (ICC-CAS) manakala syarikat Malaysia terdiri daripada Pengerang Maritime Industries Sdn Bhd (Benalec) serta Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC).

“Usaha sama ini bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan,” katanya semasa berucap merasmikan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata pembinaan kilang HVO dan SAF pertama di Malaysia ini merupakan antara inisiatif untuk memacu sektor sawit Malaysia ke arah industri berteknologi dan bernilai tinggi.

“Kerajaan akan terus menggalakkan FDI bagi mempelbagaikan produk agrikomoditi dengan nilai tambah tinggi,” katanya seperti dilapor Bernama.

Ismail Sabri berkata beliau juga berharap agar sektor agrikomoditi dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat.

“Kerajaan sangat komited dalam usaha memacu pembangunan sektor agrikomoditi agar lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata walaupun pengeluaran minyak sawit jatuh ke tahap rendah akibat cuaca buruk pada tahun lepas, sektor agrikomoditi tetap teguh.

“Sehingga Februari tahun ini nilai komoditi eksport meningkat lima peratus iaitu RM31.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Menjelang akhir tahun lepas, sektor ini mencapai nilai perdagangan sebanyak RM270.2 bilion iaitu peningkatan 39.7 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Mengenai MIACES 2022, Perdana Menteri berkata ekspo tersebut mampu menjadi platform terbaik untuk mempromosikan produk-produk dan teknologi berkaitan industri sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan MIACES 2022 mampu menjana lebih RM300 bilion nilai eksport, sekali gus menjadi platfom terbaik untuk penggiat industri agrikomoditi tempatan mengembangkan eksport produk ke pasaran baharu.

“Ini kerana ekspo ini juga akan dihadiri oleh pengeluar hasil, inovator, pelaburan serta pengeksport dan pengimport hingga kepada penggubal dasar, penyelidik dan ahli akademik dari 39 buah negara,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru