Monday, August 8, 2022

Didenda miliki Methamphetamine 0.09 gram

Secara Rawak

KUCHING: Padah memiliki 0.09 gram Methamphetamine, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,900 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Roslan, 42, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkolik, IPD Kuching telah menahan seorang lelaki di tepi jalan di hadapan sebuah cafe kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Hasil pemeriksaan terhadap tertuduh menemui satu paket plastik kecil lutsinar berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu dalam beg silang tertuduh.

Hasil siasatan dan laporan kimia mendapati barang tersebut merupakan dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.09 gram.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru