Sunday, August 7, 2022

Anak pikul ibu, ayah ke Festival Kanwar Yatra Sg. Ganges

Secara Rawak

Uttarakhand: Pada setiap 14 Julai hingga 26 Julai, penganut Hindu berkunjung ke Haridwar, Gaumukh dan Gangotri di Uttarakhand dan Sultanganj di Bihar, untuk mengambil air suci Sungai Ganges sempena Festival Kanwar Yatra.

Pada setiap tahun pula, foto dan video penganut yang melakukan perjalanan dengan berkaki ayam dengan muatan yang berat muncul di media sosial.

Bagaimanapun, tahun ini, muncul rakaman klip video menyentuh hati, lelaki memikul ibu bapanya yang sudah tua dengan gandar kayu penimbang pada dua bahunya meraikan festival Kanwar Yatra.

Klip video pendek itu dikongsi di Twitter oleh pegawai Perkhidmatan Polis India (IPS) Ashok Kumar.

Klip itu menunjukkan seorang lelaki membawa ibu bapa menggunakan alat penimbang. Dia menggantikan bekas penimbang dengan kerusi kecil dan memikul ibu dan ayahnya di bahunya sepanjang jalan menuju Sungai Ganges.

Menerusi ciapannya di Twitter, Ashok memuji dan menyuarakan rasa hormatnya dengan pemuda itu kerana sanggup membawa ibu bapanya menggunakan tandu sebagai menunjukkan betapa sayangnya dia kepada mereka.

“Zaman sekarang, ibu bapa yang sudah tua dihina, dihalau dari rumah atau tidak dibenarkan tinggal bersama-sama anak.

“Hari ini kita melihat perkara sebaliknya, seorang pemuda begitu mulia sanggup membawa ibu bapanya yang sudah tua menggunakan tandu.

“Saya amat menghormati anda!” kata Kumar.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru