Sunday, August 7, 2022

7 maut: Lelaki lancar serangan amuk dijatuhi  hukuman mati

Secara Rawak

TOKYO: Jepun pada Selasa melaksanakan hukuman mati terhadap seorang lelaki berhubung satu serangan kejam di daerah Akihabara di Tokyo pada 2008, yang menyebabkan tujuh orang maut dan 10 cedera, lapor Xinhua, memetik menteri kehakiman negara itu.

Tomohiro Kato, 39, merempuh pejalan kaki dengan sebuah trak di zon tanpa kenderaan di daerah beli-belah dan pelancongan popular pada 8 Jun 2008, membunuh tiga orang dan mencederakan dua yang lain dalam insiden itu.

Selepas memberhentikan traknya, dia keluar dan terus menikam mati secara rambang empat mangsa lain dengan sebilah pisau belati panjang, mencederakan lapan orang lagi dalam amukan itu, kata keputusan mahkamah 2015.

“Insiden itu memberi impak yang besar kepada masyarakat kerana ia meragut tujuh nyawa,” kata Menteri Kehakiman Yoshihisa Furukawa semasa taklimat media pada Selasa yang turut dipetik Bernama.

Selepas meneliti dan membuat pertimbangan dengan berhati-hati Furukawa berkata beliau menandatangani perintah pelaksanaan hukuman mati untuk Kato pada Jumaat lalu.

Dua hukuman mati telah dijalankan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Fumio Kishida, dengan tiga banduan yang terlibat dalam kes pembunuhan digantung pada Disember 2021.

Angka banduan menunggu untuk menjalani hukuman mati di Jepun kini berjumlah 106 orang, menurut angka rasmi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru