Sunday, August 7, 2022

Wanita jual kad ATM untuk  menipu 

Secara Rawak

KUCHING: Padah jual kad ATM sendiri dengan harga RM200 untuk tujuan penipuan, seorang wanita tempatan dijatuhi hukuman denda RM500 atau penjara sepuluh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, 32, mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang dibacakan di hadapan Zaiton Anuar.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memiliki wang secara tidak sah dalam akaun bank CIMB sebanyak RM400, di Jalan Satok, kira-kira jam 2.44 petang, 8 Mac 2018.

Berdasarkan fakta kes, pengadu telah membuat permohonan pinjaman wang secara dalam talian di sebuah syarikat pinjam wang dan berurusan dengan seorang ejen bernama Shenovia.

Jumlah pinjaman sebanyak RM5,000 dengan bayaran RM87 sebulan selama tujuh tahun.

Pada 8 Mac 2018, pengadu telah memasukan wang berjumlah RM400 ke dalam satu akaun atas nama tertuduh kerana diarahkan oleh ejen pinjaman untuk membuat pembayaran terbabit sebagai proses pengurusan pinjaman.

Kemudian, pengadu diminta sekali lagi membuat pembayaran sebanyak RM800 namun tidak berbuat demikian kerana merasa diri ditipu.

Pengadu kemudian, membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut sekali gus membawa kepada penangkapan tertuduh.

Hasil siasatan, mendapati tertuduh sebagai pemilik akaun telah menjual kad ATM miliknya dengan harga RM200 dan akhirnya digunakan untuk aktiviti penipuan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru